BAB 1 : AKHIRNYA KU TEMUI... versi Blog bersama Tiana Aresya

BAB 1 : Detik Itu Berulang Lagi
Tina sayangkan Mir!”

Terpacul tiba-tiba dari mulut manis Kartina ketika aku mahu menikmati makan malam bersamanya. Selera ku segera terhenti. Hilang tiba-tiba. Kata-katanya itu cukup mengganggu tumpuan. Aku tak tahu kenapa. Tapi benar-benar aku terganggu. Kenapa mesti aku?

Tina serius ke? Sedar ke apa yang Tina ucapkan tadi?”

Tina serius dan Tina sedar!”


Terpaku aku. Dia memandang aku. Aku tak termampu bertentang mata dengannya. Anak matanya begitu mencengkam pandanganku. Aku terpana. Menusuk hingga ke sudut hati. Benar-benar serius kah gadis cantik bak bidadari dari kayangan yang sedang duduk penuh adab di depan aku ini? Atau dia sengaja mahu menguji aku? Aku tak tahu. Aku jadi tertanya-tanya. Aku cuba membayangkan diri ku yang serba kurang ini. Berkulit gelap, tidak berharta, tidak berpangkat, dari kampung, keluargaku yang serba daif. Bagai langit dan bumi. Masakan enggang mahu terbang bersama si pipit? Tidakkah terbit rasa malu di hatinya kelak? Tidakkah jelek dipandangan orang melihat kami berpasangan kelak? Aku tak mahu malukan Tina. Apa lagi memalukan Dato’. Dato’ banyak memberikan jasa buatku. Tak kan aku mahu menconteng arang di mukanya? Tak kan aku mahu dianggap mengambil kesempatan dari kebaikkan anak tunggalnya itu? Aku tak mahu dianggap kacang lupakan kulit. Diberi betis, mahu paha? Tak sedar diri dari lubuk mana asalnya.


Hey Tina.... nanti, nanti, nanti dengar sini. Jawab beberapa pertanyaan Mir dengan jujur okey..”

Tanya lah. Tina mesti akan jawab dengan jujur dan paling ikhlas setiap pertanyaan Mir tu.. Biar Mir puas hati dan percaya yang Tina bukan main-main.”

Kenapa mesti Mir, Tina? Kenapa?”

Kenapa apa? Kenapa Tina pilih Mir? Sebab Mir baik! Dan Tina sayangkan Mir lebih dari lelaki lain. Lebih dari papa Tina. Lebih dari diri Tina sendiri. Jelas kan?”

Lagi? Tak kan sebab itu saja. Kelak, bila Tina bertemu dengan lelaki yang lebih baik.... Mungkin Tina akan luahkan perkara yang sama. Beritahu Mir terus terang kenapa mesti Mir?”

Tina tak semurah tu Mir! Tina tak semudah tu meluahkan harapan buat lelaki. Di kolej, ramai yang mahu bersama Tina. Tapi Tina tolak. Kenapa? Sebab mereka tak layak untuk Tina. Ramai yang cuma bertopengkan malaikat. Hakikat, tertunggu detik untuk mengikis kelebihan yang Tina miliki sebagai anak papa. Tapi Mir tak begitu. Tina lihat dan Tina yakini yang Mir jujur untuk berkawan dengan Tina walaupun Mir tahu bagaimana kisah Tina dulu. Bagaimana Tina hampir terbabas kerana jantan keparat satu masa dulu... Mir tak pernah nak blame Tina. Sebaliknya, Mir bagi semangat dan dorongan untuk Tina bangun semula. Malah Mir sentiasa ada di saat Tina perlukan teman untuk meluahkan rasa gembira dan duka. Mir tak pernah membelakangkan Tina walaupun ketika itu Mir menjadi perhatian ramai... dan lagi... Bagi Tina, Tina tak pernah rasa...”

Rasa apa? Cinta? Sayang?”

Rasa diri Tina dihargai, disayangi dan dilindungi sehinggalah Tina bertemu dengan Mir. Malah kasih sayang dari papa pun Tina tak pernah rasai seperti mana dengan Mir. Kerana Mir, Tina kenal erti kasih, erti sayang dan rindu...”

Tina... apa yang Mir lakukan pada Tina, yang Mir berikan untuk Tina, Mir ikhlas sebab Mir sayangkan Tina. Sebab Mir mampu untuk lakukan dan berikan itu semua untuk Tina. Malah, pada semua kawan-kawan terbaik Mir, sikap Mir tetap sama. Lagipun, Tina pun tahu kan yang Mir...”

Mir ada insan lain? Myza? Apa lebihnya Myza tu dari Tina? Tina betul-betul harapkan kasih sayang Mir. Perhatian dari Mir. Cinta dari Mir. Dan.... Diri Mir!! Susah sangat ke nak berikan semua tu?”

Tina... Tolong faham kedudukan Mir. Mir bekerja dengan papa Tina. Periuk nasi Mir di tangan papa Tina. Mir tak mahu nanti ada suara yang mengatakan Mir ambil kesempatan. Mir jujur kerja Tina. Tak ada kaitan dengan Myza atau yang lain-lainnya. Mir tak mengharapkan apa-apa lagi dari Myza. Dah jelas, dia tak mahukan Mir lagi. Mir kini cuma ada Tina sebagai tempat untuk Mir tumpahkan kasih sayang. Keluarga Mir jauh dan Mir tak punya sesiapa di sini.”

So, apa masalahnya? Mir dah beri kasih sayang pada Tina dan Mir dapat kasih sayang Tina? Mir sayangkan Tina kan.”

Ya.. memang Mir sayangkan Tina. Jujur Mir katakan yang Mir sayangkan Tina. Tapi, Mir sayang atas nama seorang teman dan seorang abang kepada adiknya. Mir tak bermaksud yang lain Tina. Apa lagi nak mainkan perasaan Tina.”

Jadi Tina salah fahamlah? Tina yang bermain dengan perasaan sendiri? Tina yang telah terpedaya dengan apa yang Mir luahkan? Tina bodoh sebab tak dapat nak fahami sayang seorang abang dan sahabat. Begitu? Tina bodoh sebab memasang impian untuk bersama Mir?”

Tak... Tina tak bodoh dan jangan perbodohkan diri sendiri. Cuma, Tina tersilap membuat perkiraan. Tina fikir Mir terlalu baik dan selalu di sisi Tina, lantas Tina fikir Mir mencintai Tina. Soal hati tak boleh kita paksa Tina. Tak boleh nak wujud dalam sekelip mata. Cinta perlu dipupuk dan disemai baru ia berkembang.”

Tina terdiam dan tertunduk. Sesekali diseka air mata yang mula membasahi pipinya. Aku tak sampai hati melihat. Ku kesat air mata di pipinya. Tina rebahkan kepalanya ke dadaku. Aku biarkan seketika agar keadaan Tina kembali tenang. Bukan salah Tina dan bukan juga salah aku. Apa yang harus aku lakukan kini? Tak mungkin aku semudah itu menerima luahan hati Tina. Kerana aku juga sedar yang aku ada hati yang harus ku jaga. Hati yang terlebih dahulu mencuri pandangan dan kasih sayang. Walaupun aku tahu harapan aku tak mungkin jadi kenyataan. Myza dah menolak aku. Dia tak mungkin menerima aku lagi. Insan yang dianggap sebagai kekasih awal akhir ini, akhirnya dibuang dan ditinggalkan tanpa sebarang alasan yang logik. Aku dipermainkan? Entah...

Malam itu berlalu tanpa sebarang penyelesaian. Aku kesal dengan apa yang telah aku lalui. Namun aku akur ini juga sebahagian dari sandiwara hidup yang mesti ku tempuhi. Aku tak punya selera untuk terus menjamah makanan kegemaranku. Aku rasa bersalah melihat redup di wajah Tina yang putih bersih itu. Aku yang menyebabkan wajahnnya begitu. Kenapa aku tergamak menolak luahan hasrat hatinya? Tak layakkah Tina buatku? Mengapa aku sedia melepaskan peluang di depan mata? Yang mungkin tak kan dilepaskan oleh orang lain? Aku tak tahu. Aku tak dapat memberikan jawapan pasti.


Tina, mari Mir hantarTina pulang ya. Nanti papa Tina risau pula..”


Tina tak bersuara walau sepatah. Hanya menuruti dan membiarkan aku memimpin tangannya. Aku tahu dia kecewa. Mungkin juga patah hati dengan keputusan yang didengarnya tadi dari mulut ku sendiri. Sungguh aku tak mampu nak melarikan diri dari hakikat hati ku bukan untuk dia. Aku tak tahu lagi siapa yang paling layak menerima hati ku yang telah terguris kerana kisah lalu. Ataupun aku sudah berasa takut malah sudah berputus asa kerana cinta dan perempuan? Tidak... Aku tak punya sebab untuk berasa begitu. Aku takkan menafikan hak insan lain untuk mencuri hati ku. Aku yakin pada Qada dan Qadar Tuhan. Menyakini, yang satu masa kelak, akan tiba jua masanya buat aku mengecap nikmat bahagia yang hakiki.


Ku buka pintu kereta hadiah pemberian papa Tina sempena hari lahirnya yang ke 20. Terfikir aku, bila agaknya aku jua akan mampu memiliki kereta seperti yang Tina miliki kini. Beruntungnya jadi anak orang kaya. Boleh dapat setiap yang diimpikan. Tidak.... Cinta tak dapat dibeli dengan harta berjuta. Tina diam membisu sepanjang perjalanan. Aku cuba mententeramkan suasana dengan menguatkan volume radio Hot FM. Keletah Farah Fauzana sedikit sebanyak mengausai suasana. Lancang betul Farah berbicara. Tiap tuturnya spontan. Macam bertih goreng. Aku tersenyum..

Aroma di dalam kereta Tina cukup mengasyikkan. Pandai Tina memilih. Biasalah anak orang kaya. Mesti kena jaga imej dan pandai bergaya. Jika tuannya bergaya, apa lagi kereta.. Tina memang manusia yang amat istimewa.

Aku tersenyum seketika mengenangkan aku yang mungkin masih berimej kekampungan. Memang aku anak desa. Datang ke kota untuk mencari sesuap nasi di sini. Dan aku segelintir yang bertuah kerana ditemukan dengan Dato’ Fadzil. Ahli perniagaan berjaya. Semua orang kenal. Aku diterima bekerja bukan kerana aku memiliki kelulusan luar negara. Tapi sekadar telah membuat sedikit jasa baginya. Tapi bagi ku itu adalah tanggungjawabku.

Aku masih ingat pagi itu. Ketika aku mundar-mandir bagai rusa masuk kampung. Aku perhatikan Dato’ Fadzil yang ketika itu baru keluar dari ruang legar Maybank. Dia bersalaman dengan beberapa orang di situ. Kenalannya barangkali. Tiada yang pelik bagi ahli koperat berpangkat dan ternama sepertinya. Aku memerhati dari kejauhan. Aku cuba ingatkan sesuatu. Bagai pernah aku temui lelaki ini. Tapi tidak pasti di mana. Sedang aku mengelamun memikirkan siapa Dato’ Fadzil, tiba-tiba aku lihat Dato’ Fadzil menjerit meminta pertolongan. Aku tak tahu apa yang berlaku. Yang aku lihat hanya kelibat seorang lelaki bertopeng menuju ke arah ku. Aku fikir mereka menuju ke arah motosikal honda kapcai yang masih menderum enjinnya. Temannya yang sedia untuk memecut laju membawa hasil haram. Lantas aku menghampiri...

Hoi budak? Pergi jahanam! Jangan nak tunjuk hero!!!”

Mulianya budi bahasa. Terus aku menendang motosikal. Seorang dari lelaki itu mahu menyerang aku dan silap besarlah. Tersungkur dia ke tanah terkena penangan silat cekak harimau ajarah arwah Tok Karim. Seorang lagi cuba melarikan diri. Tak kala semakin ramai yang datang dan menangkap lelaki yang tersungkur itu, aku mengejar yang seorang lagi. Penyangak bodoh yang tidak sekolah barangkali. Di campaknya beg ke arah ku dan terus hilang di celah-celah lorong. Tak perlu ku kejar kerana polis pasti dapat mencari kerana teman seperjuangannya telah di berkas. Manusia hari ini sukar diagak. Semuanya berfikiran singkat semata-mata untuk mendapatkan wang. Banyak berlaku kini yang niat menghalalkan cara. Ramai yang rela menangguk dari air yang keruh. Sanggup berbahgia atas kesengsaraan orang lain. Peduli apa dengan orang. Diri sendiri yang mesti didahulukan.

Terima kasih anak muda. Tak tahu lah saya kalau tak ada awak tadi. Banyak sangat maklumat sulit dan cek-cek syarikat di dalam beg ini. Terima kasih anak muda. Terima kasih.”

Sama-sama Dato’ Fadzil. Kebetulan saya di situ.”

Dato’ Fadzil memandang aku. Aku juga memandangnya. Tiba-tiba terpacul namanya dari mulutku. Baru ku teringat siapa lelaki separuh abad yang berdiri di depanku. Aku dijemput untuk bersarapan dengannya. Malu juga rasanya. Tetapi bila Dato’ Fadzil beriya-iya menjemput aku akur. Ingin membalas budi katanya. Aku lakukan itu bukan untuk dibalas. Ikhlas sebab itupun secara kebetulan. Kalau orang lain berada di situ, mungkin juga mereka akan melakukan sama seperti aku. Atau, mungkin juga dibiar dan diperhati sahaja sambil dalam hati mentertawa biar padan muka.

Ya memang mulanya saya ingin membeli tanah-tanah di kampung awak tu. Tapi saya batalkan niat di saat akhir selepas saya melihat ada unsur-unsur penipuan dalam perjanjian pembelian. Saya tak mahu bangsa saya rugi. Tanah bangsa saya tergadai dengan harga yang tak sepatutnya. Dan saya seharusnya berterima kasih kepada ayah awak yang menentang keras niat saya. Saya dah pecat peguam yang menguruskan perjanjian itu. Dia nak untung atas angin. Bayangkan setiap RM100 dia akan dapat RM1 dan nilai anggaran yang dia buat dia atas kertas RM5 juta. Tapi nilai sebenar dengan pihak broker RM15 juta. Berapa banyak dia akan perolehi.”

Ooo habis tu di mana dia sekarang nie Dato’? Kalau dalam cerita di TV, mesti dia dah melarikan diri untuk elak dari ditangkap pihak berkuasa.”

Hahahahahaha... itu dalam TV Mir. Orang berlakon. Ini realiti. Sebelum dia melarikan diri saya dah buat laporan polis dan BPR. Dan kini dia mungkin bergembira dalam rumah berpagar besi. Hidup mewah dengan pakaian bernombor di dada. Dia di penjara sekarang ni. Ada lagi 15 tahun. Dia kena 25 tahun penjara untuk pecah amanah, peras ugut dan rasuah. Tapi nasib dia baik, hukuman dijalankan serentak. Kalau tak, ada juga yang menamatkan riwayat hidup di dalam penjara. Dunia hari ini macam tu lah. Susah nak percaya orang berdasarkan rupa. Nampak baik, alim, warak... Tapi dalam kepala, dalam hati belum tentu baiknya.”

Pagi itu rezeki aku murah. Aku memulakan hari pertama ku di Kuala Lumpur dengan langkah kanan. Anak muda yang hanya berbekalkan sedikit wang dah dapat makan percuma di hotel lima bintang. Aku masih ingat lagi nama hotel itu. Hotel Vistana di Jalan Bukit Bintang... Memang bagaikan istana.

Okey kalau awak setuju, awak boleh mula bekerja hari ini juga kalau awak mahu. Awak kena mula dari bawah. Kenal dulu susah payah bekerja okey... Walaupun awak ada ijazah yang baik tapi dalam keadaan ekonomi sekarang ni, ijazah seperti tiada nilai. Yang bernilai ialah duit dan cable.”

Saya faham Dato’ dan saya terima. Terima kasih Dato’. Cuma hari ni saya tak boleh sebab saya perlu cari rumah sewa dahulu. Lagipun saya belum biasa lagi dengan keadaan di sini. Orang kampung Dato’. Ini kali pertama saya sampai di kota yang cukup besar ni.”

Baiklah. Awal cari area sini sahaja. Tengok di papan-papan iklan di bust stop. Banyak iklan tentang bilik dan rumah sewa ni. Lagi satu, tak perlu awak risau untuk lewat atau tersesat. Tak perlu besar-besar. Bilik pun sudah cukup baik. Orang bujang macam awak, makan di kedai sahaja. Saya pun pernah muda seperti awak.”

Dato’ Fadzil tersenyum memandang aku tersipu-sipu malu. Pandai dia mengambil hati pekerja. Patut semua orang yang berurusan dengannya tak pernah merungut. Dia beritahu aku dalam bisnes ni, pelanggan adalah raja dan pekerja adalah permaisuri. Kena jaga kedua-duanya dengan baik.

Oh ya.. Malam ni awak datang rumah saya kita makan malam sama-sama. Nanti driver saya datang jemput awak di sini dalam jam 8. Saya minta diri dulu. Banyak kerja yang perlu saya uruskan di pejabat. Sekali lagi terima kasih atas pertolongan dan keberanian awak.”

Aku berlegar-legar di sekitar bandaraya. Meninjau-ninjau iklan bilik untuk di sewa. Berkerut dahi melihat sewa bilik pun mencecah RM300 sebulan. Patutlah gaji orang kota besar-besar. Kos hidup pun melampau-lampau tingginya.

Kalau awak setuju, awak boleh tinggal dengan kami. Kami pun memang mencari teman bilik lagi. Nak kurangkan kos membayar sewa. Ramai-ramai memang sesak sikit tapi jimat untuk bayar sewa. Kalau awak masuk, jadi 5 orang.. Sebulan RM80.”

Okey lah, saya setuju.”

Bagus... Saya Awai. Ini member kita Syafee dan yang tu Wan Zur. Lagi sorang belum balik keje.”

Saya Mir Sharifuddin, panggil Mir cukup lah.”

Lega aku dapat selesaikan urusan penginapan. Puas aku berlegar-legar mencari. Mahu sahaja aku telefon Dato’ Fadzil minta bantuan dia carikan rumah untuk aku. Tapi tak kan hari pertama sudah mengharapkan ihsan Dato’? Aku berlalu selepas meninggalkan beg di rumah sewa.

Hello, Assalammualaikum mak... Mir dah dapat kerja dah. Jadi kerani saja. Tapi tak apa lah. Mir mula dari bawah. Mir tinggal menyewa dengan kawan-kawan baru. Jangan lah mak abah risau ya. Apa-apa hal Mir akan telefon beritahu. Kirim salam pada abah, Angah, Ucu dan Achik dan semua-semua lah. Kata Mir rindukan mereka semua..”

Aku berjalan lagi menuju ke pejabat Mentari Indah Holding. Nak naik bas awam aku tak tahu nombor berapa yang harus aku naik. Orang kata di sini, naik bas tak ada konduktor. Bayar guna syiling masuk dalam mesin. Aku tak pernah semua tu. Tentu masalah. Jalan raya penuh dengan kenderaan yang bertali arus. Sesuatu yang juga baru bagiku. Tentu warga di sini sudah masak benar dengan keaadan sebegini. Jika tidak pasti ada yang tak senang hidup. Satu yang cukup aku kagumi, ramai betul yang bertelefon bimbit. Budak sekolah pun ada yang tak lekang dengan telefon di telinga. Aku juga yang serba kekurangan. Sesekali aku terfikir alangkah hebatnya jika pulang ke kampung dengan berkereta besar dan bertelefon bimbit. Tentu ramai mata yang memandang..

Jika dulu Siti anak Haji Mat asyik mempersendakan aku, mungkin kali ini dia pula yang terhegeh-hegeh nak menumpang keretaku. Mungkin juga Zubaidah, ratu kampungku jua akan tersenyum lebar dan manja tiap kali aku singgah di kedai runcit maknya. Pendek kata, aku yang dulu nak dipandang sebelah mata pun tak ingin, kelak akan menjadi sebutan. Di mana-mana orang akan memperkatakan tentang aku. Mir dah berubah, Mir dah loaded, Mir dah berjaya. Mir itu dan Mir ini. Aku tak pasti, namun aku tahu tentu tak siapa yang mahu menolak tuah jika yang datang itu lombong emas buat mereka. Tak perlu bekerja lagi kerana boleh mengharapkan menantu.

Makan Mir... Apa yang tersenyum sendiri tu? Ada yang melucukan ke?”

Opps.. Maaf Dato’. Saya mengelamun tadi. Lucu pulak rasanya....”

Sedang kami menjamu selera, terdengar bunyi enjin kereta dimatikan. Dato’ Karim memandang ke arah Mak Piah dan mengarahnya menjemput tetamu yang baru hadir. Mak Piah patuh..

Anak papa lewat 5 minit hari ni. Mari makan cepat. Papa nak kenalkan dengan hero Kuala Lumpur.”

Papa ni ada-ada sahaja lah. Mana hero tu? Mungkin boleh jadi buah hati Tina”

Mir... ini anak saya Kartina Shahriza. Manja sikit. Dan suka buat sesuatu yang dia fikir nak buat. Tak fikir pasal orang lain. Panas hati, bercita-cita tinggi, kuat merajuk. Tapi saya sayangkan dia. Satu-satunya harta yang ditinggalkan oleh arwah isteri saya. Harta yang sayang anggap nyawa saya.”

Papa.... Tina merajuk nanti baru tahu.”

Okey... I’m so sorry honey... Sayang, ini lah hero yang papa cerita pagi tadi. Mir Sharifuddin.”

Hai... Tina.”

Tina menghulur tangan ke arah ku. Perlukah aku menyambutnya? Aku tak pernah memegang tangan perempuan asing bagiku. Sesuatu yang tak pernah aku lakukan dulu. Segera Tina menarik kembali tangan yang dihulurnya tadi. Lega hatiku. Tapi nafsuku memarahi. Kenapa kau tidak ambil peluang yang terhidang di depan mata kau? Mana boleh! Bukan sifatku mengambil kesempatan atas apa yang ada. Kami menjamu selera sambil ketawa. Sesekali aku mencuri pandang ke arah Tina. Cantik benar anak gadis di depan mataku kini. Tapi kenapa tak nampak wajah ceria pada air muka nya? Memang dia ketawa tapi aku tak nampak ketulusan tawanya. Seolah-olah dia sedang berperang dengan sesuatu yang aku tak tahu.

Dato’.. Terima kasih atas jemputan ini. Sedap sungguh masakan Mak Piah. Bertambah saya hari ini. Teringat sangat-sangat pada masakan mak di kampung.”

Kalau mahu rasa masakan Mak Piah, datanglah rumah Tina selalu. Mak Piah akan masak menu paling special untuk hero KL. Nak Tina masak pun boleh. Tapi beritahu dulu. Kalau datang tiba-tiba, mee maggi lah jawabnya.”

Jangan la panggil saya dengan nama tu. Malu saya. Saya tak hebat pun. Kebetulan saja tu. Panggil Mir cukup lah.”

Tina meningkah cakap ku sebelum sempat aku membalas. Jam 12 tengah malam aku sampai ke bilik sewaku. Teman-teman baru ku masih menonton TV. Cerita menarik barangkali. Aku tersenyum dan berlalu ke bilik. Panas rasanya. Badan pun berpeluh melekit. Ku capai tuala Hello Kitty pemberian Achik sebelum aku berangkat ke ibu kota. Lega rasanya, bila badan yang keletihan disiram air sejuk. Aku memikirkan apa yang bakal ku lakukan di pejabat esok. Apa tugasku? Bagaimana suasana di pejabat nanti. Tak sabar rasanya nak memulakan tugas ku. Kerjaya ku yang pertama sejak mendapat ijazah. Kerja yang difikirkan orang lain bersesuaian dengan kelulusan ku. Bekerja di syarikat besar dan di ibu kota. Bukan tugas sebagai pekerja am di pusat servis yang memenatkan. Aku terkenang kerja yang pernah ku lakukan. Pekerja am di pusat servis kereta. Lari dari kelayakan yang aku ada. Tapi demi untuk mencari modal ke bandar, aku rela bersusah payah dahulu.

Kau kerja di mana Mir? Sebagai apa?”

Di Mentari Indah Holding. Kerani aja pun. Tak pe lah mula dari bawah kan.”

Hey... beruntung kau tahu dapat kerja di MIH tu. Nama aja kerani tapi gaji besar. Bayangkan saja lah yang keje guard pun gaji RM1000 sebulan. Ni pulak kerani. Mau dekat-dekat RM2000 kalau nak dikira elaun dan OT. Bertuah kau Mir. Aku yang dah 2 kali pergi walking interview. Dua-dua dapat balasan tapi... dukacita di maklumkan permohonan anda gagal.”

Hilaian ketawa memecah suasana. Wan Zur tak mengambil hati kerana dia tahu teman-temannya tak berniat untuk mempersendakannya. Hanya mengusik dan begitulah mereka.

Bukan rezeki kau kot..”

Bukan tak ada rezeki tapi bagi malu diri. Ada ke guna sijil PMR untuk apply jadi ketua kerani. Jadi despatch kot lah padan...”

Kami berlima ketawa. Aku rasa gembira sangat kerana teman serumah yang satu kepala denganku. Senang di bawa berbual dan boleh saling menyakat. Jam berganjak ke angka 2 pagi. Aku bingkas ke bilik. Letih benar rasanya badanku. Ku lihat Ali dah tidur. Syafee dan Najmi lebih suka tidur di ruang tamu. Belum sempat aku nak terlelap, bahu ku di cuit.Awai memandang aku...

Hidup di kota tak sama macam hidup di kampung Mir. Pandai-pandai bawa diri, pandai-pandai pilih kawan dan jangan terlalu baik. Orang akan ambil kesempatan ke atas kita. Jangan terlalu merendah diri sebab kedudukan kita adalah di bawah tapak kaki orang yang sombong diri. Berani biar bertempat dan paling penting jangan tinggal yang 5. Itu tunjang kehidupan kita di sini.”

Terima kasih bang. Saya hargai ingatan. InsyaAllah, saya akan sentiasa jaga diri dan berhati-hati. Niat saya nak mencari rezeki, bukan bersuka hati. Kalau ada apa-apa yang tak betul abang tegur-tegur lah saya nanti.”

OK, Mir pun, kalau ada apa-apa masalah jangan segan-segan berkongsi dengan abang okey... Tidurlah esok awak nak kerja. Selamat malam. Assalammualaikum.”

Aku terlelap dalam keletihan yang amat sangat. Tiada mimpi yang bertandang. Mungkin mimpi pun terasa kasihan melihat aku yang sedari pagi bergerak dan berjalan tanpa henti. Tiada lagi kokok ayam di pagi hari. Yang ada deruman dan hon kereta yang pusu-pusu di jalan raya. Membingitkan kepala. Kuala Lumpur bagaikan tiada erti malam buatnya. Sentiasa terjaga dan terus terjaga.

Tepat jam 6 pagi aku sudah siap bersolat subuh memohon restu dari Ilahi agar langkah ku akan sentiasa di landasan yang tepat dan diredahi. Seawal jam 8 aku sudah berada di depan MIH. Suasana masih sepi. Patutlah, kerja bermula jam 9.30 hingga jam 5.30. Kalau aku tahu, sudah pasti aku tak terkocoh-kocoh untuk datang. Tak mengapa. Hari pertama aku mesti memberikan gambaran yang terbaik tentang diriku.Kelak tidaklah menjadi buat mulut orang. Awal-awal sahaja bersemangat, dah kian serasi bula buat perangai. Aku tak mahu dicop begitu. Aku kerja ikhlas.