Monday, July 30, 2012

BAB 1 : AKHIRNYA BAHAGIA MILIKKU


BAB 1...Di Persimpangan Dua Hati



Abang Amir.... Ika mohon maaf. “

Emm... Tak pe lah Ika. Bukan abang paksa Ika untuk terima abang pun.”

Tapi Ika rasa bersalah sangat-sangat. Ika tak sangka yang abang....”

It’s ok Ika. Abang pun salah sebab meluahkan rasa hati secara tiba-tiba...”

Ya lah... Tapi Ika kasihan lah sebab abang baik sangat-sangat. Mungkin Ika belum cukup baik buat abang. Ika doakan abang akan temui seseorang yang lebih baik dari Ika ya. Maafkan Ika ya abang...”

Zulaika tidak dapat menyeka air matanya lagi. Entah kesekian kalinya Zulaika sudah menumpahkan air mata. Bagi Zulaika hanya air mata yang mampu meredakan tiap ketegangan emosi yang memberontak maha hebat disanubarinya. Kini Zulaika menangis lagi sebaik sahaja habis tutur bicaranya. Memang Zulaika terkilan kerana tidak mampu untuk memenuhi harapan dan impian abangnya itu. Bukan Zulaika tidak mahu. Hati Zulaika mahu dan sangat mahukan peluang ini seandainya peluang itu terbentang buatnya. Tetapi Zulaika akur bahawa, hatinya juga terlebih dahulu didambakan oleh insan yang lebih dahulu meluahkan hasrat. Dirinya lebih dahulu diimpikan oleh seorang insan yang sejak sekian lama berusaha memikatnya.

Itu yang Zulaika terpaksa menolak harapan dan permintaan abang yang amat dia sayangi. Zulaika tahu Amir Hamzah terlalu baik buat dirinya. Tiada lah yang lebih baik yang pernah Zulaika kenali dan miliki selain dari Amir Hamzah. Di saat Zulaika hampir sangat untuk rebah dan putus harapan, Amir Hamzah hadir membawa sinar harapan dan obor kekuatan. Zulaika juga sedar akan ketenangan dan kegembiraan yang terukir di bibir dan di hatinya kini terlalu banyak disebabkan oleh Amir Hamzah. Lelaki yang baru setahun dikenali tetapi bagai telah bertahun lamanya di sisi. Amir Hamzah manusia istimewa. Iku pengakuan yang jujur yang dapat Zulaika nyatakan. Inilah hakikat Zulaika tentang Amir Hamzah.

Tetapi Zulaika terkilan kerana kebahagiaan yang Amir Hamzah impikan tidak dapat dipenuhinya. Terkilan dan kecewa kerana Zulaika menjadi punca kemurungan hati semestinya buat Amir Hamzah. Zulaika bukan tidak tahu sikap Amir Hamzah. Susah benar mahu ditunjukkan rasa kecewa. Yang ada hanya senyuman yang tidak pernah lekang di bibir. Tetap dengan usikkan nakal yang membuatkan Zulaika tak kering gusi ketawa dan geram. Tapi itulah istimewanya Amir Hamzah. Insan yang tidak sesekali mahu melihat temannya dalam keadaan bersedih atau tertekan. Pasti ada sahaja perkara yang dibuatnya untuk menghiburkan hati. Zulaika sudah acap kali begitu. Sebab itu Zulaika begitu selesa dengan kehadiran Amir Hamzah.

Namun, tidak langsung Zulaika menyangka yang petang itu Amir Hamzah akan berterus terang tentang soal hatinya. Memang Zulaika dapat rasakan adanya rasa ingin memiliki dan ingin pergi lebih jauh pada diri Amir Hamzah. Di dalam warkah dan sms sering kali Amir Hamzah membuat kiasan-kiasan yang menyentuh soal hati. Malahan Zulaika tidak juga kekok melayan karenah Amir Hamzah. Baginya apa salahnya andai mahu bercakap soal hati dan perasaan. Bukannya salah apa lagi berdosa. Masing-masing punya hak. Asalkan tahu niat dan tujuan. Bagi Zulaika, di awal persabahatan lagi telah dinyatakan bahawa Zulaika ikhlas menerima salam persabahatan dengan Amir Hamzah kerana Amir Hamzah juga begitu.

Di awal perkenalan, bukan senang untuk Zulaika menerima kehadiran lelaki asing. Zulaika sedar bahawa hati dan jiwanya tidak tenang. Sering merintih lantaran perjalanan hidupanya tidak seindah yang diharapkan. Walaupun di bibir sering sahaja lirik senyuman yang manis diberikan kepada setiap pelanggan kafeteria. Sebagai juruwang, semestinya senyuman itu wajib ada. Walau hati menjerit dan menangis. Hanya Amir Hamzah yang telah mengembalikan senyuman benar-benar memberikan makna buat diri Zulaika.

Kembali ke alam nyata... Suasana hening seketika. Masing-masing melayan perasaan. Zulaika menghirup air laici yang masih ada separuh di dalam cawan. Sukar rasanya untuk menghabis baki air biarpun di luar sana begitu panas. Masakan tidak, hampir tiga bulan hujang tidak pernah singgah di bumi Kuantan. Membahang biarpun jam baru menginjak ke pukul 10 pagi. Amir Hamzah juga diam. Keletihannya masih lagi bersisa. Bermotosikal dari Kuala Lipis ke Kuantan cukup meletihkan. Perjalanan hampir dua jam itu memang tidak ramai yang sanggup lakukan. Meredah hutan belantara, bukit bukau, simpang siur dan bengkang bengkok yang cukup menyiksakan. Keseraman hutan belantara di Benta, mahupun Jerantut dan Maran memang membuatkan setiap orang berfikir dua tiga kali. Namun Amir Hamzah membulatkan tekadnya. Dia harus juga tiba ke Kuantan dan berjumpa Zulaika. Hasrat hatinya harus diluahkan hari ini. Sempena hari ulang tahun kelahiran Zulaika ke 18. Bagi Amir Hamzah, Zulaika telah mencuri hatinya. Zulaika juga telah mencuri hati ibu bapa dan adik beradiknya di kampung semasa dia membawa Zulaika bercuti bersama di Perak.

Ika, tak payah la difikir sangat tentang tu. Abang ok lah. Tengok abang senyum...”

Amir Hamzah membuat mimik muka yang sememangnya mengundang tawa di bibir Zulaika. Ditutup mulut menahan gelihati dengan gelagat abangnya. Beberapa orang pelanggan gerai di Tebingan Kuantan memerhati. Ada yang berbisik sesama dan pasti bercakap tentang mereka.

Abang ni... Senak perut Ika ketawa. Sudah! Sudah! Sudah! Ngok ngek betul cik Peah Terung Busuk ni...”

Eleeeh... Tak sedar diri pulak Kapal Selam karat yang dapat jual timbang kati aja.. Senak perut konon. Tak da hal asal Ika ketawa. Ni monyok macam buah kedondong busuk. Orang nak beli selonggok RM1 pun susah hati.”

Itulah Amir Hamzah dan Zulaika bila bersama. Saling mengusik dan ketawa. Zulaika selalu mengenakan Amir Hamzah dengan nama Terung dan Amir Hamzah telah membalas dengan nama Kapal Selam. Entah bagaimana boleh terbit nama itu pun tidak pasti. Mungkin secara kebetulan. Katanya handset Zulaika macam bentuk kapal selam. Tetapi nama Terubng itu menjadi misteri kenapa terung yang dipilih.

Abang pun minum la juga. Tu milo dua puluh sen belum habis lagi.”

Ini sekejap aja. Sekali sedut pun settle..

Milo dua puluh sen. Satu lagi kenangan unik yang telah merapatkan Zulaika dan Amir Hamzah. Dalam sehari pasti Kafeteria Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan di bumi Kuantan. Bukan mahu diminum sangat pun. Kekadang milo ais yang dipesan tidak pun di ambil walau berbayar. Dari jalan menuju ke kafeteria lagi sudah dengar order dari Amir Hamzah.

Milo ais kurang sejuk hutang 20 sen satu.”

Siap....”

Macam-macam gelagat lucu. Sememangnya ‘hutang 20 sen’ itu menjadi trademark Amir Hamzah. Harga milo ais RM1.20 tetapi yang dibawa hanya RM1. Sebab itulah dia akan berhutang 20 sen. Lima kali order akan diselesaikan hutang. Senang untuk dikira katanya. Zulaika pun tidak banyak soal sebab tahu yang Amir Hamzah pasti akan datang lagi dan pasti akan membayar hutang 20 sen itu.

Nah, ini untuk awak... Tadi mak awak pesan belikan untuk awak.”

Buat pe beri saya? Kan abang beli dan bayar untuk abang? Bila mak saya pesan?”

Tadi, abang jumpa kat Teluk Cempedak.... Dan lagi satu, sebagai tanda abang nak berkenalan dengan awak lah. Boleh tak?”

Banyak la jumpa mak saya. Kenal pun tidak.”

Zulaika melayan sahaja karenah dan usikan Amir Hamzah. Kawan-kawan Amir Hamzah sudah masak benar dengan sikap menonong tidak mengenal tempat dan masa. Masing-masing sudah akur dan mahu tidak mahu terpaksa terima. Shukri, Hishamuddin, Azlee, Abang Fareez mahupun Leen ‘Mak Aji’, Anisa, Fazlinda dan Aisyah. Semua sudah sedia maklum dan sentiasa memberi sokongan moral.

Adik, ambil je orang dah beri. Bukan tak tau mangkuk ni kalau dia kata A, tak da lah nak B atau C. Rezeki jangan di tolak.”

Mak Aji menyampuk memberi pendapat. Mahu tidak mahu, Zulaika terpaksa juga lah menerima walaupun dia pasti ada mata yang sedang memandang geram dari dalam pejabat urusan Kafeteria.

Terima kasih abang ye. Jangan lah selalu macam ni. Nanti penuh perut saya dengan milo free. Ha... Tadi menang ke kalah?”

See the leg lah... Berapa tadi Tok Ayah kita tibai Abang Fareez sama Wak?”

6 – 1, 6 – 1”


Dengar tak? Sorang satu mata abang bagi sama diaorang.”

Eleeh, kasi chance aja kami tadi. Kalau tau sorry la nak merasa.”

Tenis... Sukan yang cukup diminati Amir Hamzah. Seawal jam 4.30 petang, sudah diajak kawan-kawan turun ke gelanggang. Di awal-awal dulu Amir Hamzah agak kaku bila disuruh bermain. Untuk melakukan servis pun serang tersangkut di nett atau pun jauh tersasar di luar gelanggang. Namun, sikap tidak berputus asa membuatkan dia kini antara yang amat diidamkan untuk ditewaskan lawan.

Apa khabar awak hari ni? Siapa nama tadi.... Milah? Minah?”

Aiiieeee.... Sesedap hati aja sebut nama orang Milah Minah? Saya Zulaika lah.”

Apa? Replika?”

Kakak.... Tolong bagitau abang ni... Pekak badak betul.”

Semua yang ada di Kafeteria ketawa. Melayan celoteh Zulaika juga menjadi suatu yang menarik di Kafeteria. Memang Zulaika ramah dengan semua orang. Memang juga Zulaika menjadi perhatian ramai mata di Maktab ini. Masakan tidak, Zulaika di akui boleh berada dalam kategori cantik, baik budi dan sikap. Paling penting mulut murai Zulaika yang menjadi daya penarik utama.

Okey lah, lain kali jumpa lagi...”

Sapa nak jumpa abang? Kawan pun tidak ini kan nak jumpa. Tolong sikit erk...”

Tak da hal. Hari ni tak kawan, esok-esok mana tau jadi bini terus....”

Banyak la. Saya ni dah ada anak raja di Uganda tu yang tunggu tau...”

Zulaika mengusik lagi. Amir Hamzah tidak malu. Dia tahu Zulaika mengusik lagi.

Sapa kata nak jumpa awak? Saya nak jumpa gelas air ni....”

Ketawa memenuhi ruangan kafeteria lagi. Amir Hamzah berlalu dengan kawan-kawannya dan Zulaika hanya memerhati. Terhibur seketika dengan perangai dan usikan selamber Amir Hamzah dan kawan-kawannya. Seketika datang Haji Mukhsin, pemilik Kafetria.

Jangan di layan sangat budak-budak maktab ni. Bukan boleh pakai. Ada yang hanya nak suka-suka.”

Alah, Tuan Haji... Saya pun suka-suka saja. Bukan ada niat lain pun. Dah orang bual dengan saya, tak kan saya nak sombong pula.”

Tak boleh macam tu. Time kerja tu kerja lah betul-betul...”

Saya kerja lah ni. Bukan saya ke mana-mana pun. Saya duduk saja di kaunter ni. Lagipun bukan ada pelanggan lain pun tadi. Nak marah kenapa?”

Zulaika menarik muka masam. Baru sebentar tadi Zulaika ceria. Haji Mukhsin bagai tidak suka sahaja bila melihat Zulaika ketawa dan bersuka-suka melayan karenah pelanggan yang datang ke kafeteria. Bagai mahu dikongkong setiap pergerakan dan seolah dia yang menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh Zulaika lakukan. Zulaika berdiam diri dan membuat kerjanya. Malas lagi berbalah dengan majikannya. Haji Mukhsin juga berlalu.

Eh, Zulaika apa yang difikir tu? Senyum sesorang tetiba?”

Zulaika tersedar. Mengelamun panjang rupanya menyorot kisah yang pernah dilaluinya semasa di awal perkenalan dengan Amir Hamzah. Kini Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan sudah pun dipindahkan ke kampus baru di Kuala Lipis. Zulaika telah berhenti kerja dan kembali ke kampung halamannya di tanah Felda. Setiap hujung bulan Amir Hamzah akan datang ke Kuantan semata-mata untuk berjumpa Zulaika.

Sorry.... Eh, jomlah kita ke masjid dulu. Dan nak habis Zohor ni.”

Jom lah... Ni satu kelebihan Ika yang abang suka tau. Dalam pada busy berjalan-jalan, tetap ingat bila tiba time solat.”

Itu kan kewajipan. Mesti lah kena buat.”

Zulaika dan Amir Hamzah beriringan menuju ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, masjid negeri yang terletak berdepan dengan padang Majlis Perbandaran Kuantan. Juga hanya beberapa meter sahaja daripada pusat-pusat tumpuan ramai. Memang senang benar untuk sesiapa pun datang menunaikan kewajipan sebagai hambaNya. Cuma tinggal rajin dengan malas. Ikhlas, alpa atau sengaja dilupakan. Adat manusia hari ini. Sering memandang remeh tuntutan paling utama dalam Rukun Islam.

Mungkin kerana tidak pernah ditunjukkanNya bagaimana rupa siksaan di neraka kelak andai solat ditinggalkan. Sekiranya ditunjuk walaupun hanya untuk seketika barangkali semua masjid di seluruh dunia sentiasa penuh dengan umat manusia yang membuat amal ibadat. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui atas apa yang tidak kita ketahui.

No comments:

Post a Comment