Monday, September 10, 2012

Bab 5 : AKHIRNYA BAHAGIA MILIKKU


BAB 5...Kau Derita Kerana Ku

Hari ini 1 September. Hari ulangtahun kelahiran Amir Hamzah ke 24. Amir Hamzah sudah berada di Kuantan sejak hari Jumaat. 31 haribulan Ogos, hari Sabtu cuti umum sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 45. Maknanya 1 haribulan September itu baru hari Ahad. Masih hari cuti. Sebab itulah Amir Hamzah dapat turun ke Kuantan. Cuti yang agak panjang. Pertemuan diatur untuk bertemu di Megamall Kuantan. Seawal jam sembilan pagi Amir Hamzah sudah menanti kehadiran Zulaika. Manakala Zulaika masih dalam perjalanan. Terasa risau juga kerana bas bergerak agak perlahan. Tidak mahu Amir Hamzah ternanti-nanti.

Sebaik sahaja bas berhenti di hadapan Megamall, Zulaika tercari-cari Amir Hamzah tetapi tidak kelihatan. Zulaika terasa sedih. Sudah pulangkah Amir Hamzah? Sedar dirinya telah terlewat hampir setengah jam. Tetapi masakan Amir Hamzah sudah pulang? Tidak mustahil sebab Amir Hamzah harus kembali ke Kuala Lipis hari ini. Esok kelas akan bermula lagi. Tetapi takkan Amir Hamzah pulang ke Kuala Lipis tanpa mahu berjumpa Zulaika? Tidak rindukah Amir Hamzah dengan Zulaika?

Hai cik Peah Kapal Selam Karat.... Boleh berkenalan? Nama saya Ter bin Rung”

Zulaika terkejut tetapi segera tersenyum bila mellihat yang mencuitnya dari belakang tadi adalah insan yang dinanti-nantikannya. Zulaika membuat mimik muka. Amir Hamzah tersenyum kelat.

Cantik lah tu buat muka macam tu? Cantik sikit dari buah kedondong jatuh timpa batu. Cuba lah bagi senyuman sikit.”

Zulaika ketawa lagi. Amir Hamzah tetap seperti mana yang dia kenali. Tetap dengan usikan yang mengundang tawa.

Abang apa khabar? Sihat? Dah lama tunggu kan? Maaf lah. Bas tadi slow sangat. Agaknya sebab enjin tersumbat dengan buah terung cabuk!”

Cehhh.. Sempat lagi kenakan abang ya. Abang sihat. Ika? Mesti sihatkan. Cuma karat-karat ajalah. Tak pa. Karat pun boleh jual kati.”

Abang pun sama asyik kenakan Ika aja...”

Mereka ketawa. Kemesraan antara mereka tetap sama. Masing-masing mencerita apa yang terkini. Zulaika dengan kehidupannya. Begitu juga Amir Hamzah di Kuala Lipis. Asyik bercerita sambil membasah tekak dengan milo ais tanpa hutang 20 sen.

Abang... Ini untuk abang. Selamat Hari Lahir ke-24. Moga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, diberikan kejayaan dan dianugerahkan kegembiraan dan juga kesejahteraan yang berkekalan. Ikhlas dari Ika. Sudi-sudilah terima ya. Penat Ika buat tau. Kalau tak mahu pun, jangan buang depan-depan Ika.”

Siapa kata tak mahu? Terima kasih ya Ika. Abang saja yang tak ada apa-apa untuk Ika hari ni. Maaf lah ye.”

Hari ni kan hari jadi abang. Takkan abang nak kena bagi Ika hadiah juga?”

Betul lah tu. Tapi kita kan dah lama tak jumpa. Hampir tiga bulan. Patut abang bawa lah juga ole-ole dari Kuala Lipis kan. Kalau tak dapat yang mahal, dapat selipar jepun Siti Nurhaliza pun jadilah. Ini datang jumpa melenggang aja.”

Tak pa lah abang. Datang jumpa Ika pun dan sangat Ika hargai. Bukannya dekat. Berapa jam dari Lipis ke sini. Abang lalu jalan mana?”

Tiga jam. Abang lalu Maran, Jengka, Jerantut, Benta dan masuk Lipis..”

Ayam KFC yang dipesan telah pun habis dimakan sambil bercerita. Banyak betul yang dibualkan. Jam makin menginjak ke tengahari. Amir Hamzah semakin hampir untuk memohon mengundur diri. Perjalanannya masih jauh.

Ika, sebelum abang balik ni, abang nak cakap sesuatu ya. Penting pada abang. Biar abang berterus terang lah. Daripada abang simpan pun tak guna juga. Abang tak minta Ika buat keputusan yang memihak abang. Terpulang pada Ika. Asalkan Ika buat keputusan yang terbaik dan meletakkan kepentingan Ika terlebih dulu. Jangan buat keputusan kerana kasihan kan abang atau terhutang budi.”

Apa yang abang nak cakapkan?”

Sepanjang kita kenal lebih kurang lapan bulan ni, apa pandangan Ika terhadap abang? Apa-apalah. Dari segi sikap ke, fizikal ke.. Apa sahaja yang Ika mahu abang tahu tentang pandangan Ika. Tak kisah. Nak kutuk abang pun kutuklah, Abang tak da nak ambil hati.”

Secara jujurnya, abang sangat baik. Abang seorang yang sangat setia pada kawan, sangat caring dan sanggup bersusah kerana kawan. Rupa tu lebih kurang macam terung tapi abang hensem lagi lah.Paling utama Ika suka cara abang.”

Haiya... Sempat lagi tu kenakan abang. Ok, thak you ye. Ada tak abang pernah buat Ika terasa hati ke, rasa terabai ke?”

Tidak pernah sesekali. Sebaliknya Ika rasa diri Ika amat dihargai, disayangi dan dijaga sebaiknya oleh abang. Famili Ika pun tak macam tu.”

Pernah tak Ika terfikir kenapa abang buat macam tu dengan Ika?”

Sebab abang ikhlas sayangkan ika lebih dari diri abang sendiri kan. Abang pernah sebut tentang ini kan?”

Ya... Itu betul... Tapi Ika, hari ini abang nak cakap sesuatu. Harap Ika dengar dulu ya. Abang dah fikir dalam-dalam, ini yang seharusnya abang cakapkan pada Ika sebelum abang balik semula ke Lipis kejap lagi.”

Macam berat aja bunyinya...”

Berat lagi Kapal Selam bawa kedondong... Hahahahahahaha”

Nak kena cik mamat terung bulat ni....”

Ketawa lagi.... Terhenti seketika cerita yang mahu disampaikan oleh Amir Hamzah. Saki baki kelucuan usikan masih terasa. Kemudia Amir Hamzah kembali fokus. Dia menatap wajah Zulaika yang berada di depan matanya ketika ini. Zulaika tertunduk.

Tidak mampu untuk Zulaika menahan pandangan Amir Hamzah. Merona raut wajahnya menahan malu ditenung sebegitu. Bukan Amir Hamzah tidak pernah merenung matanya. Tetapi kali ini terasa lain. Bergetar rasa hatinya bila ditenung sebegitu. Amir Hamzah tersenyum melihat Zulaika tidak ketahuan.

Abang jatuh cinta dengan Ika!!!”

Zulaika tercengang. Langsung tidak bersuara dan tidak tahu berbuat apa-apa. Tidak tersangka itu yang keluar dari mulut Amir Hamzah yang dianggapnya sebagai abang kandung. Tetapi itulah yang diucapkan sebentar tadi.

Abang.... Tak kan....”

Ya Ika... Abang dah jatuh cinta pada Ika. Sejak hari pertama abang nampak Ika lagi. Tapi sebelum ni abang kawal diri. Mungkin abang rasa itu mainan perasaan aja. Tapi semakin abang kenali Ika, dan semakin kita rapat... Abang yakin bahawa cinta abang untuk Ika benar-benar wujud. Sebab itu abang buat keputusan untuk beritahu Ika tentang perasaan abang hari ini. Abang mahu pulang ke Lipis dengan hati yang tenang. Mungkin belum ada keputusan tapi at least abang dah meluahkan.”

Apa lah kelebihan yang Ika ada abang? Sampaikan abang meluahkan rasa cinta abang pada Ika. Ika tak terfikir langsung yang abang akan cakap hal ni? Selama ini Ika anggap abang dah macam abang kandung Ika sendiri.”

Ika terlalu banyak kelebihannya. Keluarga abang terutama mak dan ayah abang pun sukakan Ika masa abang bawa Ika datang rumah abang dulu. Adik abang si Amir Ferhad pun bukan main lagi. Asyik tanya bila nak bawa kak Ika datang lagi.”

Tapi Ika ni tak da apa-apa sebenarnya...”

Itu mungkin pada Ika. Mungkin abang agak prejudis kalau abang katakan Ika berbeza dengan teman-teman yang pernah abang miliki dulu. Ika pun tahu kan yang dulu abang pernah menjalin cinta dengan Arin, Syofia dan Aleya. Tapi abang rasa Ika lebih istimewa dari mereka. Abang terasa begitu dekat dengan Ika. Hati abang tenang dan gembira tiap kali bersama Ika. Sebab itu abang mahu ikatan yang kita bina ini, kita bawa ke satu tahap yang lebih jauh.”

Tapi abang.... terlalu drastik permintaan abang ni. Ika pun tak tahu nak cakap apa. Ditolak abang akan kecewa, tapi diterima... Ika takut.....”

Takut apa? Ikan kan belum ada siapa-siapa lagi sekarang. Setakat yang abang tahu lah, Ika tak pernah cerita pun yang Ika ada sesiapa kan...”

Zulaika terdiam tidak tahu apa yang harus dikatakan. Mengapalah saat ini Amir Hamzah menyatakan hasrat hatinya. Sedang baru minggu lepas dia membuat satu keputusan yang begitu sukar dalam hidupnya.

Abang... Ika tak dapat nak buat keputusan yang terbaik untuk abang. Tapi Ika minta maaf banyak-banyak. Ikat memang tak sangka dengan permintaan abang ni.”

It’s okey Ika. Abang tak paksa Ika. Sebab abang pun tau apa yang abang cakap ni tentunya satu kejutan sebab tiba-tiba sahajakan. Ambil lah masa untuk Ika fikirkan dan abang tunggu lah keputusan Ika. Terima atau tak, itu hak Ika. Kalau diterima abang syukur pada Allah, jika ditolak, abang tetap abang Ika dan abang tetap abang seperti yang Ika kenal now. Yang penting Ika fikir dan buat keputusan terbaik ok.”

Abang... Ika terkejut dengan apa yang abang cakapkan tetapi Ika nak abang tahu sesuatu. Ika tak dapat nak menerima luahan hati abang ni. Abang akan tahu juga satu hari nanti. Tapi pada Ika, selamanya Ika akan sayang abang seperti mana Ika sayang diri Ika, famili Ika sendiri. Abang terlalu istimewa buat Ika. Percayalah, tidak pernah sesaat pun perasaan sayang Ika pada abang berkurang.”

Zulaika mengeluarkan tisu dari beg bimbitnya. Dikesat mata yang kian berair. Mudah benar Zulaika menitiskan air mata. Kerap kali air mata menjadi teman Zulaika di kala dia gembira apa lagi berduka. Baginya air mata lah yang mampu membuat hatinya tenang dan tabah untuk berdepan musibah dan kedukaan. Air mata juga menjadi temannya disaat meraikan kejayaan dan kebahgiaan.

Amir Hamzah juga terdiam. Hatinya juga tersentuh. Bukan niat Amir Hamzah untuk menggoncang pintu hati dan mengundang tangisan di wajah yang suci itu. Tetapi Amir Hamzah juga tidak mampu untuk terus memendam perasaan yang kian tinggi dan hangat membara terhadap Zulaika. Bimbang sekiranya dia terlewat lagi lantas insan idamannya menjadi milik insan lain. Itu yang terjadi bila mana Amir Hamzah meluahkan hasrat hatinya kepada Sofia satu ketika dulu.

Zulaika terus mencuka wajahnya. Amir Hamzah hampir mati akal bagaimana untuk mengembalikan senyum di wajah Zulaika. Tetapi Amir Hamzah sedar, dia harus berbuat sesuatu kerana dia lah yang merubahkan wajah ceria Zulaika menjadi mendung bagaikan langit yang mahu kehujanan.

Hei Kapal Selam.... Tengok tu, gajah panjat tiang elektrik....”

Amir Hamzah membuat usikan mengejut. Zulaika sedikit terkejut. Ditoleh ke kiri dan ke kanan. Zulaika tersenyum dan ketawa bila dia tersedar yang dia terkena lagi. Lantas tersedar juga yang dia telah terlalu jauh diulit kenangan lalu. Kini ZuIaika sudah tersedar yang dia kini berada di depan mata Amir Hamzah. Dan Amir Hamzah sedang meluahkan hasrat hatinya.

Jauhnya mengelamun adik abang ni... Jangan banyak berangan. Nanti jadi macam buah kedondong... Tetiba jatuh gedebuk timba batu. Pecah berkecai sekupang pun tak da gunanya.”

Sorry.... Zulaika teringat kenangan kita semasa di Kuantan dulu. Best kan?”

Memang pun. Tapi semua tu dah berlalu. Kekal jadi kenangan ajalah. Ni tentang luahan hati abang tadi tu, jangan lah Ika bimbang dan fikirkan sangat ok. Abang tak kan memaksa Ika tau. Abang tak kan pujuk Ika, dan abang takkan rayu pada Ika untuk terima abang. Pada abang yang penting abang mahukan kebahgiaan Ika. Abang tunggu aja keputusan Ika. Apa sahaja abang terima ok.”

Zulaika mengangguk tanda faham. Susah benar untuk Zulaika menerangkan duduk sebenar perkara yang bermain di fikirannya. Mujurlah Ika sudah catatkan semuanya di dalam warkah yang baru sahaja diberikan buat tatapan Amir Hamzah.

Buku ni abang baca masa abang dah di maktab ok. Jangan sekarang. Kelak Ika menangis lagi kalau abang baca sekarang.”

Ya lah.. Tau lah abang.”

Tapi sekali lagi Ika minta maaf sangat-sangat sebab mengecewakan abang.”

Nak kena korek lubang hidung kot Ika ni. Berapa kali dah abang kata tak pe...”

Pertemuan Zulaika dan Amir Hamzah berakhir sekitar jam tiga petang. Amir Hamzah harus beredar untuk meneruskan perjalanannya. Sejujurnya Amir Hamzah berlalu ke Kuala Lipis dengan hati yang maha kecewa. Terfikir mengapa Zulaika tidak dapat menerimanya? Sedangkan yang Amir Hamzah tahu dan faham, sepanjang tempoh mereka berdua bersama, mereka sentiasa mesra dan bahagia sekali. Terasa begitiu serasi dan seiya sekata dalam semua perkara. Saling mengusik dan saling juga membantu. Tetapi mengapa Zulaika tidak dapat menerima cintanya?

Sepanjang bermotosikal ke Kuala Lipis Amir Hamzah berfikir dimanakah salah dan silapnya. Dimanakah kekurangannya? Fikirannya benar-benar melayang memikirkan segala macam alasan dan musabab mengapa Zulaika tidak dapat menerima luahan hatinya. Amir Hamzah jadi buntu. Fikirannya terganggu. Akhirnya gangguan ini menyebabkan Amir Hamzah tersungkur lagi.

Ya Allah.....”

Amir Hamzah terpelanting ke tebing jalan raya. Motosikalnya merempuh lori treler muatan peralatan pembinaan untuk fun fair di Jerantut. Nasib Amir Hamzah baik. Dia hanya merempuh sisi tayar tengah treler tersebut yang termakan jalan di satu selekoh hanya beberapa kilometer dari pekan Benta. Tetapi rosak agak teruk juga motosikal Amir Hamzah. Pemandu treler itu memberhentikan kenderaannya.

Adik ok tak ni? Abang memang kena makan jalan sebab treler abang ni panjang.”

Saya ok bang. Cuma motor saya aja tak tahu dapat jalan atau tak.”

Kalau adik ok tak pa lah. Abang pergi dulu. Abang dah lewatnya. Maaf lah ya.”

Pemandu treler itu berlalu begitu sahaja? Kurang asam betul! Amir Hamzah menyumpah. Ditarik motosikalnya ke tebing jalan. Handle motosikalnya tidak dapat dibetulkan. Sedikit bengkok dari kedudukan asal. Breknya juga sedikit bengkok. Amir Hamzah terfikir bagaimana dia mahu pulang? Saat ini Amir Hamzah tidak terfikir langsung untuk dia memberitahu Zulaika yang dia mengalamani kemalangan yang disebabkan terlalu memikirkan keputusan Zulaika menolak cintanya. Zulaika tidak perlu tahu kerana Amir Hamzah tidak mahu membebankan lagi adik kesayangannya itu. Cukup lah sebentar tadi dia sakitkan hati Zulaika. Kini saat Amir Hamzah sakit, biar lah dia sendirian merasainya.

Kebetulan seorang pemuda melalui jalan tersebut. Dia memberhentikan motosikal.

Kenapa ni dik?”

Accident dengan treler tadi. Tapi dah blah dah treler tu.”

Ada ambil nombor plat treler tu tak? Nanti nak buat report.”

Tak abang, tak ingat langsung sebab masa tu fikir yang penting nyawa saya masih panjang saja.”

Ni dapat jalan tak motor adik ni? Adik nak ke mana?”

Saya nak balik Maktab di Lipis. Tak boleh jalan sebab brek sangkut.”

Susah juga ni. Bengkel motor pun paling dekat lima kilometer juuga. Nak tolak tu mau berpeluh juga. Abang balik tengok-tengok tukul. Mungkin dapat dibetulkan sikit. Adik tunggu sekejap lah ya.”

Terima kasih banyak bang.”

Amir Hamzah duduk di tepi jalan sambil menanti pemuda itu datang kembali. Baru terasa sengal dan pedih di betisnya. Baru Amir Hamzah perasaan kaki seluarnya koyak dan terbakar terkena ekzos. Betis kanan Amir Hamzah juga turut melecur. Tetapi mengapa Amir Hamzah tidak merasa sakit? Mengapa sakit di hatinya lebih terasa walaupun hatinya tidak nampak akan merah darah? Benar lah kata orang. Luka yang ditusuk belati tajam masih mampu untuk kita menahan tetapi luka di hati biarpun tak berdarah bisa buat kita gundah.

Dalam keadaan kesakitan di betis yang kian terasa, masih lagi Amir Hamzah terfikir kan mengapa permintaan hatinya tidak terlaksana. Tidak cukup baikkah dia kepada Zulaika? Atau pada Zulaika, masih ada yang tidak kena yang ada pada diri Amir Hamzah. Lantas itu yang menjadi penyebab mengapa luahan hatinya Amir Hamzah ditolak Zulaika. Namun apa yang kurang itu? Amir Hamzah tidak tahu jika Zulaika juga tidak menyatakan. Setahu Amir Hamzah, sepanjang tempoh bersama Zulaika tidak pernah sekalipun Zulaika merungut akan kekurangan apa-apa dipihak dirinya. Yang ada hanya pujian. Amir Hamzah baik. Amir Hamzah setia. Amir Hamzah bagus dan seribu satu macam pujian lagi.

Mungkin benar jika difikitkan semula kata-kata yang pernah diucapkan oleh Zulaika satu masa dahulu ketika di awal perkenalan dan setelah Amir Hamzah menceritakan kisah luka kegagalan dalam bercinta. Masih teringat lagi kata-kata Zulaika...

Sesuatu yang baik, belum tentu ianya benar...
Sesuatu yang benar, belum tentu ia baik...
Sesuatu yang bagus, belum tentu ia berharga...
Sesuatu yang berharga, belum tentu ia bagus... Feel The Heart

No comments:

Post a Comment