Wednesday, October 10, 2012

BAB 13 - AKHIRNYA BAHAGIA MILIKKU


BAB 13...Mengapa Kau Berkorban Kerana Ku?


Hari Zulaika berdebar-debar. Hari ini dia akan ke rumah Yusnizam. Di samping mahu menghantar kain yang hendak diberikan kepada Yusnizam, Zulaika juga akan datang menemui ibu kepada kekasih hatinya. Zulaika berdoa agar ibu Yusnizam, puan Nafisah dapat menerima dirinya seadanya. Zulaika sedar dirinya yang serba-serbinya masih kekurangan. Tidak seindah dan sesempurna Zulaika mahupun Siti Aisyah. Tidak langsung sehebat Siti Khadijah ataupun Siti Fatimah. Wanita-wanita hebat di Zaman Rasullullah s.a.w. Malah jika dibandingkan dengan Siti Sifir pun Zulaika tewas. Apa lagi Siti Nurhaliza.

Pernah Amir Hamzah bermadah kepada Zulaika ketika diceritakan pengalaman hatinya semasa mereka minum di satu petang. Zulaika masih ingat saat diceritakan, Amir Hamzah sedang berperang dengan hati dan akalnya. Namun, dia tetap tegar dan tabah. Katanya tidak salah berkongsi cerita biarpun menceritakan, bererti luka yang hampir sembuh, akan berdarah kembali. Tetapi itu tidak mengapa asalkan Zulaika mendapat sesuatu pengajaran dari kisahnya yang tidak pernah bernoktah kegembiraan di penghujungnya. Semuanya berakhir di jalan raya yang bisu tetapi menyimpan seribu satu rahsia.

Masih jelas diingatan Zulaika, Amir Hamzah dalam pada dia bercerita, kerap juga diberikan madah kiasan yang penuh mendalam makna untuk difikirkan.

Tak perlu mencari teman secantik Balqis, andai diri tak sehebat Sulaiman. Mengapa mengharap teman setampan Yusof, jika kasih tak setulus Zulaikha.
Tak perlu mencari teman seteguh Ibrahim andai diri tak sekuat Hajar dan mengapa didamba teman hidup sesempurna Muhammad s.a.w jika ada keburukkan pada dirimu? Bimbinglah dirinya dan terimalah kekurangan itu sebagai suatu keunikkan dan carilah kebaikkan pada dirinya. Bersyukurlah dipertemukan dengannya dan berdoalah agar dia kan menjadi milik kita ke akhirnya.”

Mak, ini lah Zulaika yang Yus maksudkan.... Ika, ini lah mak Yus.”

Zulaika menghulur tangan. Di salam dan dikucup penuh hormat.

Apa khabar makcik. Gembira Ika dapat jumpa makcik. Sebelum ni dengar Yus saja yang cerita tentang makcik. Hari ni Ika dapat bertentang mata.”

Baru sahaja berjumpa sudah terjalin kemesraan. Puan Nafisah ceria melayan sikap Zulaika yang mudah mesra. Adik Yusnizam si Mohd Yuslan pun sama rancak. Gelak tawa memenuhi ruang tamu rumah yang penuh dengan perca kain lebihan yang digunting. Yusnizam tekun mengadap mesin jahitnya. Membiarkan sahaja ibu dan adiknya berbual bersama Zulaika. Yusnizam gembira kerana Zulaika dilihatnya berjaya mencuit hati ibunya. Puan Nafisah memang diakui tidak banyak bercakap. Tangannya lebih banyak bergerak dari mulut. Tetapi Zulaika berjaya menafikannya. Hari ini mulut puan Nafisah terpaksa bekerja lebih masa kerana Zulaika. Ada-ada sahaja yang dibualkan Zulaika. Bertambah lagi kesyukuran Zulaika kerana ini kali pertama dia berhadapan dengan ibu kepada kekasih hatinya.

Dahulu dia pernah berdepan dengan ibu Amir Hamzah. Suasana juga begitu. Kucar kacir satu rumah kerana Zulaika. Masih segar diingatan Zulaika bagaimana satu hari Zulaika sakit kerana senggugut. Masalah biasa bagi perempuan normal apabila datang bulan. Bersungguh-sungguh ayah Amir Hamzah memaksanya minum ubat yang belum pernah Zulaika cuba. Ditolak secara baik tetapi ayah Amir Hamzah tidak berpuas hati. Dimahunya juga Zulaika minum. ‘air lemuju’ katanya bagus untuk senggugut. Selagi Zulaika tidak meminum air itu, selagi itulah dipaksanya. Terpaksa jugalah Zulaika mengalah demi untuk menjaga hati. Sebaik sahaja diminum, terloncat Zulaika kerana rasanya yang sedikit pahit dan kelat. Kepala Zulaika terhantuk ke bucu katil. Ketawa memenuhi ruang bilik itu.

Pak cik lah ni paksa Ika minum ‘makjun’. Sampai bengkak kepala Ika ni terhantuk.”

Sapa suruh lompat. Penakut makan ubat. Macam mana nak baik...”

Itulah antara kenangan yang tidak dapat Zulaika lupakan sepanjang empat hari di rumah Amir Hamzah. Ada satu lagi kenangan ketika dia dan keluarga Amir Hamzah pergi berkelah di pantai Teluk Batik. Pantai peranginan terkenal di yang terletak di Lumut dalam daerah Manjung. Bukan keindahan mandi laut yang diingatkan sangat. Tetapi kenangan dengan ‘adik besar’. Zulaika tertanya-tanya kenapa semua orang memanggil nenek Amir Hamzah itu dengan gelaran ‘adik besar’. Amir Hamzah pun bukan tahu sangat sebab dia juga jarang-jarang di kampung. Tetapi di Teluk Batuk hari itu, Zulaika mendapat jawapannya. Nenek sudah sedikit nyanyuk dan bersikap seperti kanak-kanak. Petnah bersungguh-sungguh minta dibelikan ais krim. Zulaika ketawa besar tetapi dibeli juga untuk memenuhi permintaan ‘adik besar’. Akhirnya ‘adik besar’ juga sinonim dimulutnya.

Ika pulang dulu makcik ya. Terima kasih sebab layan Ika dengan baik. Gembira sangat dapat jumpa makcik. Jumpa Yuslan juga...”

Hati-hati ya. Jangan lupa, senang-senang datang lah lagi. Jangan ada kain nak di potong, baru datang. Rumah makcik bila-bila saja boleh datang.”

Kak Ika nanti datang bawa pucuk paku ya. Tidak pun taugeh. Boleh buat sayur makan tengahari. Lepas ni datang tidur sini tau.”

Zulaika memandang Yusnizam yang tersengih. Mesti Yusnizam mencerita kepada adiknya tentang kisah pucuk paku dan taugeh. Kurang asam punya Yusnizam.

InsyaAllah Lan. Nanti-nanti ada masa, kak Ika datang dan bermalam di rumah Lan ya. Lan rajin-rajin belajar dan tolong mak tau. Jangan nakal.”

Yusnizam meminta izin ibunya untuk menghantar Zulaika pulang. Seperti mana dia yang menjemput Zulaika datang, pulang juga harus dipastikan selamat. Hari ini turut menjadi kenangan indah buat Zulaika. Dirinya diterima baik di rumah Yusnizam. Bagaimana pula keluaragannya nanti? Dapatkah mereka menerima Yusnizam?

Dalam perjalanan itu, Yusnizam menghentikan motosikalnya di sebuah gerai di tepi jalan. Mereka berhenti untuk makan dan minum. Yusnizam beritahu Zulaika laksa dan cendol di sini sedap. Dia sering bertandang bila ada masa terluang. Memang apa yang diwar-warkan itu benar. Zulaika berselera sekali sehingga dihabiskan kuah laksa. Ingin sahaja diminta untuk dibungkus bawa pulang tetapi dia malu. Mungkin Yusnizam dapat membaca apa yang terlintas dihatinya.

Kak Teh, bungkuskan laksa sama cendol satu ya.”

Bungkusan diserahkan kepada Zulaika. Dipesannya buat makan masa menjahit. Dia tahu benar bila terleka dengan menjahit, makan pun boleh dilupakan.

Terima kasih Yus. Lega Ika, mak Yus dapat terima Ika tadi. Bimbang juga kalau kena halau ke. Kena marah ke.”

Apa pulak nak dihalau. Bukan ayam... Sebenarnya itu kali pertama tau Yus tengok mak Yus melayan perempuan yang Yus bawa pulang dengan baik. Dulu Yus penah dua tiga kali bawa kawan perempuan. Tapi semua tak seperti mana Ika. Yang dulu tu, bila balik tidak la mak pesan suruh datang lagi. Kira Ika dah menangi hati dia lah.”

Ye ke? Kalau macam tu Alhamdulillah. Lega Ika dengar. Tapi keluarga Ika tak tahu pula macam mana nantikan. Harap macam tu juga la. Baru best.”

Slow-slow lah berkenal tu. InsyaAllah, semuanya akan berjalan dengan baik. Ok, Yus pulang dulu. Ika jaga diri. Senang-senang tu message Yus. Ika tu kalau dah mengadap mesin jahit, lupa dunia. Kalau pencuri datang ketuk bulu kening pun Ika tak sedar. Bukan Yus tak kenal Ika.”

Banyak la Yus punya cengkadak....”

Perpisahan hari itu diiringi tawa riang. Bahagia dirasakan saat ini. Mungkinkah Amir Hamzah juga bahagia seperti yang ku rasakan saat ini? Mudah-mudahan begitu. Kau bodoh Razlan kerana tidak mahu bahagia bersama ku...

Sudah tertulis rezeki Zulaika oleh Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Cempaka Adrina Collection makin medapat sambutan. Tempahan pakaian oleh warga Felda Bukit Gula datang mencurah. Tidak menang tangan Zulaika dengan rezeki yang datang bergolek. Akhirnya Zulaika berhenti kerja daripada majikannya Encik Aiman dan Encik Kamarul. Biarpun dipujuk supaya hanya mengambil cuti. Tapi Zulaika tekad bahawa dia sudah nampak pintu rezekinya. Akhirnya majikannya terpaksa juga mempersetujui kehendak Zulaika. Bermakna mereka terpaksa juga mencari pekerja baru. Kalaupun tidak sebaik Zulaika, sekurang-kurangnya hampir sama dengan Zulaika. Bagi mereka Zulaika sudah seperti trademark kedai mereka.

Tetapi, rezeki yang mencurah itu tidak selamanya indah. Tidak semua yang dapat menerima. Sudah menjadi adat dunia. Sukar untuk mencari seorang manusia yang boleh melihat orang lain mendapat lebih darinya. Timbulkan bisikan syaitan dan iblis agar menaruh perasaan dengki dan iri hati . Lantaran kerana tamak dan haloba. Lalu pelbagai usaha dilakukan untuk menjatuhkan orang lain. Tiada ada segan silu dibuat pelbagai onar agar periuk nasi orang yang di atas mereka terhambur pasir yang pasti mengundang tawa di hati mereka namun derita di pihak yang terkena.

Mengapa harus ada dengki dan sakit hati? Tidak bolehkah bersyukur dengan rezeki yang telah Tuhan tetapkan buat diri masing-masing? Mengapa iblis dan syaitan yang mahu dijadikan sahabat? Tuhan sudah mengatakan yang kejayaan hanya untuk hamba-hambaNya yang berusaha.

Zulaika merasai derita akibat rezeki yang sedikit lebih. Telah hampir seminggu kaki dan badan-badannya terasa sengat yang mencucuk. Sukar untuk Zulaika bergerak. Semacam ada duri di dalam tulang belulangnya. Puan Rokiah mengandaikan yang anaknya telah terkena santau orang. Tetapi tidak berani untuk Zulaika menerimanya bulat-bulat. Kerana baginya tidak baik untuk berburuk sangka tanpa disertakan bukti. Selagi Zulaika boleh bersabar, dia sabar. Digerakkan juga tulang empat keratnya walaupun dalam kepayahan yang bukan kepalang. Pergerakkannya terbatas.

Makin hari semakin Zulaika terasa peritnya siksa yang sedang dihadapinya. Kian menipis kesabarannya. Zulaika merintih memohon belas ihsan ibu dan ayahnya. Mohon dicari penawar agar dia dapat segera menyambung amanah pelanggannya yang terbantut seketika. Semua tempahan harus disiapkan mengikut jadual. Jika tidak, bermakna hasilnya akan berkurang. Lebih memburukkan lagi mungkin tiada lagi yang berani menghantar kepada Zulaika. Pasti dicop Cempaka Adrina Collection tidak menepati janji dan buat kerja sambil lewa. Bukannya mahu diterima apa-apa alasan selain daripada dihantar mesti disiapkan. Zulaika akur tentang itu. Janji mesti ditepati. Jika ingkar sukar untuk meraih kepercayaan lagi.

Yusnizam juga susah hati bila mendapat tahu keadaan yang dihadapi Zulaika kini. Mahu membantu tetapi bagaimana? Dia juga dicemburui masa untuk menyiapkan tempahan yang diterima. Kasihan juga Yusnizam melihat ibunya bertungkus lumus hingga kadang-kadang terabai makan minum. Persediaan untuk menyambut hari raya juga belum lagi dibuat apa-apa. Tidak mengapalah. Nanti ada kesempatan buat sahaja ‘kuih tunjuk’. Bayar RM10 sudah boleh dapat dua tiga jenis kuih raya di gerai-gerai yang tumbuh bagai cendawan.

Yusnizam memberitahu ibunya tentang kesulitan yang Zulaika hadapi. Ibunya turut simpati. Masing-masing memikirkan bagaimana untuk membantu Zulaika.

Mak rasa, elok jika Yus pergi bantu Ika. Bawa balik tempahannya ke sini kita tolong jahitkan ke. Takkan kamu nak tolong jaga dia di rumah pula? Tak juga jadi kerja.”

Tapi mahu ke Ika buat macam tu? Dia bukan jenis yang suka menyusahkan orang mak. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu macam tu.”

Apa yang susahnya. Sekarang ni dia sakit. Kalau tak disiapkan lagi susah untuk masa depan dia kan. Yus cuba cakap baik-baik dengannya. Kita hanya nak bantu.”

Baiklah mak, nanti Yus jumpa dan bincang dengan dia ya. Yus nak tanya, mak suka tak Ika? Apa pendapat mak tentang Ika?”

Kalau anak mak dah suka, apa lagi mak nak kata? Asalkan Yus tahu memilih yang terbaik buat diri Yus, mak akan merestuinya. Tapi pada mak, Ika ni budak baik. Dia pandai ambil hati orang tua dan pandai bawa diri. Tidak yang macam sebelum ni. Entah siapa-siapa yang Yus bawa pulang. Ada yang rambut merah tu yang paling mak tak berkenan. Ika ni mak suka.”

Yusnizam tersenyum bangga bila ibunya melambung tinggi diri Zulaika, kekasihnya. Ingin segera Yusnizam berjumpa Zulaika untuk diberitahu tentang pendapat ibunya ini. Mana tahu boleh dijadikan azimat kekuatan buat Zulaika menempuh ujian yang sedang dihadapinya kini. Yusnizam mahu membantu Zulaika tidak kira dengan apa cara sekalipun. Demi cinta dan kasih sayangnya...

1 comment:

  1. Online Casinos in New Jersey - Lucky Club
    Online Casinos NJ: Gambling laws and limitations of online gambling. Some casinos, like DraftKings and Tropicana, allow 🎲 New Jersey Gambling Gambling Sites: Caesars Casino🎰 FanDuel Casino: New Jersey🎰 Sportsbook Bonus: $1,000💲 luckyclub New Jersey Gambling Apps: DraftKings, FanDuel Casino

    ReplyDelete