Sunday, October 21, 2012

BAB 18 - AKHIRNYA BAHAGIA MILIKKU


BAB 18...Derhakakah Aku Ini Ibu?


Tersentak Zulaika dari lamunan. Angah datang tiba-tiba dan terus duduk di sebelah.

Ada apa Angah? Masuk tak bagi salam. Terkejut Ika.”

Sorry... Sorry.. Nak tanya sesuatu. Angah dengar dari mulut orang. Jadi nak la tanya dari tuan punya badan.”

Apa cerita pulak ni?”

Betul ke Ika dengan Yus ada apa-apa?”

Maksud Angah? Siapa yang buat cerita ni?”

Makcik Hamilah... Dia bagitau Angah tadi, masa Angah pi kedai dia. Itu yang Angah nak tahu dari Ika sendiri. Takkan Angah nak tanya Yus pulak.”

Sebenarnya Angah... Ika berterus terang lah dengan Angah ya. Ika harap Angah tak pula bagitau siapa-siapa terutama mak.”

Betul lah apa yang Angah dengar?”

Ya... Sebenarnya dah hampir enam bulan, Ika dengan Yus bercinta. Ika rasa gembira sangat lepas bersama dengan Yus. Ika dapat lupakan Razlan.”

Emmm... Angah tak tahu nak kata apa lah jika itu keputusan Ika. Cuma Ika pun tau mak macam mana kan? Angah tengok pun dah tahu yang mak tak suka sangat.”

Itu lah masalahnya. Ika pun tak tahu macam mana nak bagitau mak tentang ni. Tapi sampai bila Ika nak berahsia dari mak. Lambat laun akan diketahui juga.”

Angah tak da masalah dengan Yus. Angah tengok dia ok je. Rajin, hormat orang tua dan lawak juga. Cuma mungkin sebab mak belum betul-betul kenal dia kot. Itu yang mak tak berapa suka lagi. Sabar dulu lah.”

Ya, selagi boleh sabar, Ika sabar lah, Tapi Ika kesian kat Yus tu. Depan-depan dia, mak tunjukkan yang dia tak suka. Kalaupun tak suka tak perlu lah nak tunjuk dan marah-marah depan dia. Jagalah hati orang sama. Nasib lah Yus tu penyabar. Ika pula yang rasa malu dan kecewa...”

Sedang asyik berbual dengan Angah, pintu dikuak. Puan Rokiah berdiri di depan tanpa bersuara. Zulaika jadi kaget. Terdengarkah ibunya perbualan dia dan kakak nya sebentar tadi? Kalau ya, apalah agaknya reaksi ibu? Marahkah? Kecewakah?

Kamu dah makan ubat?”

Lega hati Zulaika bila ibunya bersuara. Sekurang-kurangnya dia tahu, ibunya tidak mendengar apa-apa. Zulaika hanya mengangguk tanda sudah. Puan Rokiah berlalu pergi. Angah juga mengekori. Zulaika bersiap-siap untuk ke kedainya. Kasihan kan Yusnizam yang pasti sedang bekerja berseorangan.

Assalammualaikum... Dah lama ke buka kedai?”

Waalaikumsalam. Tak lah. Baru saja dua jam yang lalu Yus buka kedai.”

Terus Zulaika menyimpan begnya dan membantu Yusnizam. Sambil bekerja mereka saling mengusik untuk menghiburkan suasana. Telefon berbunyi nyaring. Yusnizam menjawab dan Zulaika hanya memerhati.

Apa? Sekarang macam mana? Ok, petang nanti abang pergi sana.”

Kemudian Yusnizam meneruskan kerjanya. Zulaika perasan perubahan air muka Yuznizam. Bingkas dia mendekati dan duduk berdekatan dengan kekasih hatinya. Zulaika tahu ada sesuatu sedang berlaku dan meresahkan Yusnizam. Zulaika terus mendesak Yusnizam untuk menyatakan siapa yang menelefon dan apa yang terjadi setelah Yusnizam seakan berahsia dengannya.

Emak masuk hospital!! Pagi tadi dia pengsan masa solat subuh. Yuslan dah minta tolong Pakcik Bakri hantarkan ke hospital. Sekarang ada di wad. Kata Yuslan, mak dah sedar. Petang nanti Yus nak pergi tengok kejap.”

Kenapa tak pergi sekarang? Kerja boleh buat nanti.”

Tak boleh Ika, tanggungjawab kena juga Yus buat.”

Tanggungjawab sebagai anak?”

Kedai di kunci elok-elok dan Yunizam menghidupkan motosikalnya. Makcik Hamilah keluar seraya bertanya.

Nak ke mana kamu Ika?”

Nak ke Kuantan kejap makcik. Ada kerja sikit.”

Haa... Elok lah tu membuntut pekerja sendiri.”

Tajam sahaja sindiran makcik Hamilah. Zulaika tidak ambil pusing. Dia mahu segera sampai ke hospital. Cerita yang bakal dijaja makcik Hamilah akan ditangani kelak. Sekarang Zulaika ada tugasan yang lebih besar.

Sampai di perkarangan hospital, Zulaika segera menuju ke wad yang diberitahu oleh Yuslan. Pintu ditolak perlahan. Kelihatan Yuslan sedang duduk berteleku di sisi ibu nya yang terpejam mata.

Kak Ika... Ibu baru tidur.”

Zulaika menghadiahkan senyuman dan salaman Yuslan disambut. Zulaika duduk di sisi katil dan disalami tangan puan Nafisah penuh hormat. Puan Nafisah terjaga lalu membuka mata. Senyuman kepayahan terpancar di wajah tuanya.

Ika datang dengan siapa? Makcik tak apa-apa Ika.”

Dengan Yus makcik. Alhamdulillah makcik dah sedar. Terkejut Ika bila Yus bagitau makcik masuk hospital. Dia pula nak datang petang. Ika suruh datang sekarang.”

Yus memang macam tu. Kerjanya lebih penting dari yang lain.”

Itu yang Ika tegur dia tadi. Rezeki kita boleh cari. Tapi nyawa...”

Tak pa lah Ika. Makcik pun bukan ada apa-apa. Esok dah boleh buat kerja pun.”

Banyak-banyak lah rehat dulu makcik.”

Lega hati Zulaika bila melihat Puan Nafisah sudah bertambah baik. Petang itu dibuka semula Cempaka Adrina Collection. Sehingga menjangkau jam sepuluh malam baru ditutup. Terasa kepenatan kerana banyak bergerak hari ini. Sesudah mengucapkan selamat malam kepada kekasih hatinya, Zulaika pulang. Lampu rumah masih terpasang.

Pintu ditolak perlahan dan Zulaika melihat ibunya masih leka menonton TV. Ayah sudah tidur agaknya. Angah pergi ke Kuantan. Dia ada kursus seminggu. Adik-adik Zulaika juga pasti sudah tidur. Esok mereka akan ke sekolah lagi.

Mak belum tidur?”

.... Macam mana mak nak tidur kalau anaknya entah ke mana?”

Apa maksud mak?”

Kamu sendiri patut tahu apa maksud mak!! Tak perlu mak bagitau.”

Kalau mak tak bagitau, macam mana Ika nak tau? Kalau Ika ada buat salah, Ika minta maaf. Tapi Ika minta bagitau lah apa salah yang Ika dah buat. Jangan lah mak terus saja nak marahkan Ika. Bagitau lah apa salah Ika supaya Ika dapat jelaskan duduk perkara sebenar.”

Kamu ni tak tahu malu? Sejak bila pandai naik motor dengan jantan? Entah ke mana kamu pergi? Silap haribulan perut tu memboyot baru tahu!”

Mak.....!!! Apa mak cakap ni? Ika tak lah sampai ke tahap nak buat macam tu. Ika cuma tumpang Yus pergi tengok mak dia sakit. Takkan itu pun salah? Yang mak nak dengar cakap orang kenapa? Mak tentu lebih kenal Ika macam mana kan?”

Dulu memang mak kenal kamu! Tapi sejak kamu berkawan dengan kuli kamu tu. Kamu dah mula besar kepala. Kuat melawan. Tak da lagi nak minta pandangan mak ayah lagi dah!! Kuli kata ok, kamu pun ok.”

Mak... Yus tak pernah pun ajar Ika kurang ajar atau apa-apa yang tak baik. Tak boleh lah mak kata macam tu. Dia dah banyak bantu Ika sepanjang Ika sakit. Kalau tak, Ika pun tak tahu macam mana nak siapkan kerja-kerja Ika di kedai.”

Bukan main kamu mempertahankan kuli kamu tu? Kenapa? Kamu ada hati dekat dia? Nak bercinta dengan dia? Cuba kamu buka mata kamu dulu sebelum kamu nak bercinta dengan dia.”

Apa kurangnya dia mak? Dia juga macam kita.”

Dia memang kurang dari kita. Kamu kena sedar tu.”

Apa kurangnya dia mak?”

Dia tu kuli kamu!!! Orang ambil kuli untuk senangkan kerja kamu, bukan untuk di buat laki. Tak boleh hidup senang kamu berlakikan dia tu.”

Jangan lah kita mengutuk dia mak. Patut kita berterima kasih sebab dia sanggup bantu Ika, bukan menghina dia...”

Hah... Puji lah kuli kamu tu melangit. Dia saja yang baik. Mak ni mulut jahat. Dia yang nak jaga kamu. Mak bapak letak ke tepi!!”

Ika tak pernah pun ketepikan mak atau ayah dalam hidup Ika. Ika hormat mak. Ika juga hormat ayah. Tapi Ika juga kena hargai Yus yang membantu Ika.”

Lagi-lagi hormatkan budak tu? Apa yang dia ada? Kereta? Rumah? Harta? Buka la mata kamu tu sikit Ika.... Orang yang macam tu kamu nak jadikan laki kamu? Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?”

Kaya menjamin kebahagiaan ke mak?”

Habis tu? Kamu ingat cinta yang boleh buat kamu bahagia? Kalau macam tu tak payah la kita bersusah payah kumpul harta. Cukup dengan cinta, cukup dengan kasih sayang. Kita dah boleh bahagia? Kamu ni dah kena guna-guna, kamu sedar tak? Dia dah guna-gunakan kamu!!”

Astagfirullahallazim... Bawa mengucap mak. Tak baik tuduh-tuduh orang tanpa bukti. Berdosa kalau kita bercakap benda yang tak betul.”

Zulaika berlalu tanda tidak berpuas hati. Puan Rokiah memerhati geram. Sekejap kemudian dia mengekori ke bilik Zulaika. Hatinya belum puas.

Mak, Ika dah mengantuk, dah letih sangat hari ni. Esok kita bercakap lagi ya.”

Aku selagi tak puas hati, aku tak mahu kau tidur!! Aku nak tanya kau... Kamu dengan kuli kamu tu bercinta?”

Siapa cakap?”

Aku tahu lah... Sekarang aku nak tahu dari mulut kamu sendiri.”

Biar Ika berterus terang... Mak lebih suka dengar cakap orang dari mulut anak mak sendiri? Kalau mak dah percaya sangat cakap orang, baiklah... Mulai malam ini.. Ya, Ika mahu bercinta dengan Yus!!! Kejap lagi Ika telefon Yus, Ika nak bercinta dengan dia. Biar mak puas hati.”

Suka lah kamu macam tu? Perempuan jenis apa kamu ni? Tak tahu pilih orang nak dibuat laki? Kuli juga yang kamu pilih.”

Kuli pun, hati dia mulia mak. Kalau mak nak tahu, dia ada luahkan isi hati dia kat Ika enam bulan lalu. Malam ni, Ika akan telefon bagitau Ika terima luahan hati dia. Ika buat keputusan depan mak!!”

Anak tak kenang budi!!!!”

Puan Rokiah berlalu.... Zulaika? Menangis lagi malam itu. Dia telah meninggikan suara kepada ibu yang melahirkannya setelah bersusah payah mengandung selama sembilan bulan. Zulaika meninggikan suara kerana tidak tertahan lagi dengan cacian dan hinaan ibunya terhadap Yusnizam. Terlebih sudah sikap ibunya mencerca dan merendah-rendahkan Yusnizam. Kalau pertengkaran dengan ibunya tadi didengar oleh Yusnizam, bagaimana agaknya perasaan Yusnizam? Ketawa? Menangis?

Walaupun tidak langsung terniat untuk Zulaika bersikap kurang ajar, namun malam itu kesabarannya benar-benar teruji. Zulaika termenung mengenangkan hari esok. Apakah ibunya akan kembali tenang dan dapat menerima keputusannya atau akan bertambah bencinya terhadap Yusnizam. Zulaika menangis lagi.

Akum... Slmt mlm Ika. Jgn byk nangis tau. Yus sentiasa bsama Ika

Satu lagi sms masuk ke dalam telefonnya.

Akum Ika... Sorry msg lewat mlm. Juz nak pesan jgn byk nngis. Simpan air mata tu. Malu nanti anak abg tgk auntienya nngis..

Kalian memang dapat membaca perasaanku saat ini. Zulaika merintih bila mana dia mendapat dua sms dengan pesanan serupa. Kau istimewa Amir Hamzah. Kau juga istimewa Yusnizam. Kalian memang istimewa pada diriku. Zulaika terus meratap sesal atas kelantangan suara terhadap ibunya. Rasa bersalah menebal biarpun dia merasa haknya untuk mempertahankan orang yang banyak membantunya.

Zulaika terkenangkan Amir Hamzah. Kehidupan abangnya kini kian bahagia setelah Aleya selamat melahirkan puteri comel. Ada Amir Hamzah kirimkan gambar anaknya itu. Hidung mengikut jejak ibunya. Tetapi yang lain banyak yang mirip kepada Amir Hamzah. Puteri comel yang diberi nama Liyana Aqilah itu memang comel. Zulaika kepingin benar mahu bertemu dengan Liyana Aqilah. Tetapi entah bila masa untuk dia bertemu dengan buah hati Amir Hamzah itu.

Zulaika juga terkenangkan Yusnizam. Sekarang mungkin dia sedang tidur dalam keadaan yang kurang sempurna. Beralaskan tilam toto nipis, berteman ubat nyamuk buat menghalau tetamu penghisap darah yang tidak diundang dan di bawah suram cahaya lilin. Sedang Zulaika enak berbaring di tilam yang empuk, berkipas dan lampu yang benderang cahayanya. Kau korbankan keselesaanmu demi untuk kau membantuku. Betapa mulianya hatimu Yusnizam. Tetapi mengapa ibu tidak dapat melihat kemuliaannya ini? Zulaika terus merintih hingga tidak sedar, dia terhanyut di arus mimpi.

Hari ini serba tak kena buat Zulaika. Mengapa semua orang tidak menyebelahi dirinya dalam soal hati. Salahkan pilihan yang dibuatnya? Zulaika ralat dengan apa yang dilalui kini. Mengapa ibu tidak menyukaia pilihan hatinya. Zulaika bungkam dan dia mencatatkan isi hatinya di dalam diari biru miliknya. Biarlah diari itu yang menjadi saksi dan teman setianya saat ini. Zulaika tahu cerita dia bersama Yusnizam itu sampai ke pengetahuan ibunya disebabkan oleh mulut mak cik Hamilah. Kenal benar dia dengan mulut tempayan mak cik Hamilah. Satu felda tahu tentang ini. Malah ada anak-anak muda menggelarnya “Radar Puaka”. Masakan tidak, semua cerita terbaru luar dalam felda akan diketahui olehnya.

Zulaika terus menulis cerita hidupnya di dalam diari biru. Mahu diadu kepada Amir Hamzah pun, sudah lewat malam benar. Apa lagi Amir Hamzah tidak bebas seperti dulu. Dia kini punya hati yang haris dijaga dan Zulaika juga harus menghormati dan memikirkan Aleya sebagai teman hidup Amir Hamzah.

Akhirnya Zulaika terlelap jua dengan harti yang tidak kenal erti ketenangan. Moga hari esok akan lebih memberikan sinar harapan.

No comments:

Post a Comment