Wednesday, October 10, 2012

BAB 14 - AKHIRNYA BAHAGIA MILIKKU


BAB 14... Aku Derita Tuhanku...

Keadaan Zulaika makin tenat. Kini langsung tidak boleh berjalan. Terbaring lesu di katilnya. Puan Rokiah dilanda kerisauan. Menurut kata Haji Marzuki, bomoh di Felda ini, Zulaika sudah termakan santau orang. Ada sesuatu yang telah dimakan Zulaika, dihantar oleh orang yang busuk hati padanya. Tetapi Haji Marzuki tidak menyatakan siapakah orang yang menghantar. Hanya diminta bersabar dan banyak membaca ayat suci Al Quran sebagai pendinding. Pak Zakaria juga tidak putus harapan. Diminta Haji Leman dari Temerloh datang untuk berubat anaknya.

Malam itu malam jumaat. Haji Leman membakar kemenyan. Bau harum memenuhi setiap ruang rumah. Beberapa orang jiran turun datang melihat. Sesekali Zulaika mengerang kesakitan. Terasa siksa bagi yang melihat. Namun, berat kepada mata yang memandang, berat lagi buat bahu yang memikul. Hanya dalam dua minggu, badan Zulaika susut bagaikan mayat. Masakan tidak, makan tidak boleh. Memang terasa lapar. Tetapi baru dua tiga sudu dijamah, sudah dimuntahkan kembali. Minum pun terasa pahit. Betapa siksanya keadaan yang ditanggung Zulaika.

Haji Leman membawa sedikit garam yang telah dijampi dengan ayat-ayat Al Quran. Ditabur di sekeliling rumah sebagai pendinding menolak bala. Kemudian dia masuk semula dan duduk menghadap Zulaika yang masih mengerang kesakitan. Mulutnya terkumat kamit membaca ayat-ayat yang hanya dia yang tahu dan mendengar.

Disapukan ke muka Zulaika. Tiap kali disapukan doa yang dijampinya, raut wajah Zulaika berubah seakan memandang penuh benci kepada Haji Leman. Haji Leman memicit ibu jari kaki Zulaika. Seraya dia bersuara.

Siapa kamu? Kena kamu mengganggu cucu aku?”

Zulaika meronta-ronta. Bagai ada kuasa lain di dalam jasadnya saat itu. Suara juga menjadi garau. Semua yang memerhati kaget.

Jangan ganggu aku!!!! Dia hak aku!!!!”

Cucu aku milik Allah! Bukan milik kau. Kau golongan dilaknat Allah!!!! Keluar kau dari jasad cucu aku. Sebelum aku paku kau dengan kalimah Allah.”

Jangan ganggu aku!!!! Dia hak aku!!!!”

Aku tidak ganggu kau!!! Kau yang mengganggu cucu aku. Tempat kau bukan di sini. Tempat kau di neraka jahanam!!!”

Jangan ganggu aku!!!!”

Aku tak ganggu kamu. Ini bukan tempat kamu. Baik kamu keluar sekarang!!!”
Jasad Zulaika kian memberontak. Ditumbuk-tumbuk katilnya. Berdentum bunyinya. Dihempas-hempas badannya. Haji Leman menguatkan lagi picitan ibu jari kakinya. Beberapa jiran yang turut serta membantu memegang tangan dan kaki Zulaika. Tenaga yang ada pada Zulaika luar biasa. Bukan calang-calang makhluk yang kini menumpang di dalam jasad Zulaika.

Haji Leman terus membaca ayat suci Al Quran. Suara itu terus-terusan memarahi Haji Leman tetapi tidak diendahkan Haji Leman.

Jangan ganggu aku!!! Dia hak aku!!!!”

Cucu aku hak Allah... Baik kau pergi. Sebelum aku paku kau dengan kalimah Allah.”

Aku tak mahu pergi. Dia hak aku....!!!!”

Hampir dua puluh minit perang mulut antara Haji Leman dan makhluk tumpangan itu berlangsung. Masing-masing tidak mahu mengalah. Akhirnya Haji leman bersuara.

Demi Allah Yang Maha Berkuasa... Aku mohon padaMu berkat kekuasaannya, aku memohon agar Kau hantar makhluk laknatullah ini ke neraka Mu. Bebaskanlah cucu ku ini dari sengsara iblis dan syaitan. Aku mohon Kau sejahterakan cucu ku ini. Bissimilllahhirahmanirrahim..... Allahu Akhbar......”

Haji Leman menikam sebiji buah limau nipis yang telah dijampi dengan sebatang paku sepanjang lima inci. Zulaika menjerit melolong bagai dia yang tertusuk paku itu.

Akhirnya Zulaika kelesuan dan diam. Berpeluh-peluh jasadnya. Haji Leman terus lagi membaca doa dan ayat suci Al Quran. Suasana sudah kembali tenang. Kala Haji Leman menikam buah limau nipis itu, terdengar bagai tingkap di bilik dapur terkuak kuat. Tiada siapa yang berani bersuara walaupun mereka mendengarnya.

Dia dah keluar dah. Alhamdulillah... Pergi tutup tingkap yang terbuka tadi. Baca ayat Kursi masa nak tutup. Jangan dipandang, jangan dicari. Dia dah pergi jauh.”

Itu pesan Haji Leman. Puan Rokiah dan Pak Zakaria menurut. Mencari tingkap yang dimaksudkan. Ada kesan terbakar di salah satu tingkap dapur. Sebentar kemudian datang kembali pasangan suami isteri itu dan duduk. Pak Zakaria membisik sesuatu di telinga Haji Leman.

Tak pa, dia tak datang lagi dah. Cuma esok, kamu pergi kedai anak kamu. Kamu baca Al Fatihah, tiga Qul dan ayat Qursi. Tiga kali tiap-tiap satu ayat. Kemudian kamu selawat dan tabur garam ni depan kedai anak kamu tu. InsyaAllah, semuanya akan kembali baik. Kalau terjumpa apa-apa benda pelik, ambil dan buang dalam sungai. Benda tu mugkin ada tertanam di mana-mana sekitar kedai anak kamu tu.”

Terima Kasih Haji. InsyaAllah, esok saya buat apa yang Haji pesan.”

Yusnizam ada di luar rumah ketika Haji Leman berubat Zulaika. Niat untuk datang berjumpa Zulaika membincang tentang cadangan ibunya tidak diteruskan. Yusnizam terasa seram-seram sejuk semasa rawatan itu dijalankan. Apatah lagi dia dapat melihat bagaikan ada satu cahaya yang meluru keluar dari pintu dapur naik terus ke langit. Ada juga beberapa anak muda yang sama-sama di luar menyaksikan.

Yusnizam pulang dengan debar di hati. Dibaca ayat Kursi dan ayat-ayat Al Quran sepanjang perjalanan pulang. Tidak seperti selalu dia akan menyanyi pelbagai jenis lagi dan bercakap sendirian. Mungkin lain masa dia akan bercakap tentang perkara itu dengan Zulaika. Bagi Yusnizam, sekarang bukan masa yang sesuai.

Puan Nafisah juga terkejut dengan apa yang diberitahu Yusnizam. Tidak percaya apa yang didengarnya. Tetapi tidak mustahil kerana dia sendiri pernah merasai bala akibat perasaan dengki dan busuk hati. Ingat lagi dia satu masa dulu kedai jahitnya dibakar orang. Sebab itu kini, dia hanya membuat kerjayanya di rumah sendiri. Lebih selamat dan ramai yang ada yang boleh membantu. Puan Nafisah berasa sedih. Disebabkan kejadian itu dia kehilangan suami tercinta.

Arwah suaminya yang bersusah payah berusaha menyelamatkan pakaian yang sudah siap dijahit akhirnya menemui ajal kerana ditimpa bumbung yang tiba-tiba runtuh. Arwah suaminya pergi di depan matanya. Memang puan Nafisah tidak akan memaafkan orang yang melakukan perkara itu. Biarpun Ali Botak sudah dikenakan hukuman penjara, tetapi tidak setimpal dengan apa yang dia tanggung.

Itu kisah belasan tahun dahulu. Ali Botak juga sudah dibebaskan. Ada sekali dia datang memohon ampun, namun puan Nafisah tidak mahu memaafkan Ali Botak.

Pergilah kau mohon ampun pada Allah, pada arwah. Jangan kau minta ampun pada aku!! Aku takkan memaafkan kau.”

Aku ni diupah orang saja Sah... Aku insaf, aku salah. Aku mohon maaf pada kau. Pada anak-anak kau.”

Maaf kau tu tak dapat bagi balik ayah pada anak-anak aku tu. Kau mungkin tak dapat bayangkan. Bagaimana perasaan aku melihat suami aku pergi dalam dengan cukup tersiksa di depan mata aku sendiri? Suami aku dibakar hidup-hidup depan mata aku. Itu kau nak aku maafkan kau? Aku tak sebaik Nabi yang dapat maafkan salah kau tu. Aku takkan maaf kan kau selagi nyawa aku dikandung badan!!”

Sejak itu, Ali Botak hilang entah ke mana. Tidak mahu lagi dia terus di situ kerana malu. Milah Songket pun turut sama pindah ke Johor Bahru. Bila mana orang tahu dia yang mengupah Ali Botak untuk membakar kedai Puan Nafisah. Mengapalah Milah Songket, rakan yang sama-sama belajar menjahit, sanggup berbuat begitu? Semuanya kerana dengki dan busuk hati.

Zulaika sudar sedar dari tidurnya. Badan masih terasa sengal-sengal. Wajah pucat masih kelihatan. Puan Rokiah sedari tadi menjaga Zulaika terjaga. Dia terlelap di penjuru katil. Sudah empat malam dia tidur di penjuru katil mejaga Zulaika.

Mak... Nak nasi...”

Zulaika bercakap dengan penuh kepayahan. Setelah hampir dua minggu, baru hari ini dia minta nasi.Puan Rokiah menuju ke dapur. Disenduk sedikit nasi. Dicampur ikan goreng dan sedikit kuah masak lemak. Dibawa juga segelas air yang telah dijampi oleh Haji Leman tempoh hari.

Makan... Mak suap.”

Zulaika tidak membantah. Sayu hatinya saat itu. Betapa mulianya hati seorang ibu. Sanggup disuapkan nasi ke mulut anaknya. Entahkan satu masa kelak, anaknya sanggup untuk berbuat yang sama seperti yang dilakukan kini? Zulaika sanggup. Sebab baginya ibunya adalah syurganya. Syurga di bawah telapak kaki ibu.

No comments:

Post a Comment