Tuesday, October 23, 2012

BAB 20 - AKHIRNYA BAHAGIA MILIKKU


BAB 20... Moga Kau Tabah Seperti Mana Aku


Ibu Yusnizam dimasukkan ke hospital lagi. Zulaika jadi tak menentu. Terasa dirinya bersalah kerana tidak dapat membantu menjaga insan yang sudah dianggap ibunya. Adik Yusnizam yang berkerja di Johor terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ibu di hospital. Yusmawati sudah seminggu berumah di hospital. Segalanya demi ibu yang amat dikasihi. Yusnizam hanya dapat melihat ibunya apabila selesai bekerja.

Mungkin kenangan di majlis kenduri kahwin di rumah Pak Su Yusnizam tempohari adalah suatu kenangan paling manis buat Zulaika mahupun diri puan Nafisah sendiri. Kini sekali lagi puan Nafisah bertarung dengan maut kerana penyakit kanser rahim yang telah bertahun dihidapi. Semakin parah dan serius kesengsaraan yang ditanggungnya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa deritanya bila penyakit ini hampir ke kemuncak. Zulaika terasa amat pedih dan sedih. Belum pun puas dia bermanja dan bermesra dengan bakal ibu mertuanya, kini Zulaika sudah pun mula terbayangkan yang dia bakal kehilangan insan mulia itu. Zulaika cuba membuang jauh-jauh perasaan itu tetapi semakin cuba dibuang, semakin kerap pula perasaan dan andaian itu bermain di fikirannya. Ya Allah, ujian apakah ini? Hati Zulaika memberontak mahu menjaga kebajikan insan mulia itu. Namun, ibunya membantah.

Dia tu siapa pada kamu? Ibu kamu ada di depan mata! Yang kamu nak sibuk-sibuk jaga orang asing kenapa? Kamu dan buang ibu sendiri demi orang lain?”

Mak, mak Yus sekarang ni tenat. Entah esok lusa pergi mengadap Tuhan, lagi mak nak bersangka buruk? Jangan nanti, mak tercari-cari dia di sana untuk memohon ampun. Jangan lah sampai jadi begitu mak.”

Kurang ajar kamu ni!!”

Pangggg.... Pipi Zulaika kemerahan dihinggap tamparan yang membara dari puan Rokiah. Zulaika menangis tersedu-sedu. Terasa pedih pipinya. Tidak menyangka langsung yang ibunya sanggup menampar semata-mata kerana dia mahu melawat insan mulia yang sedang bertarung dengan kematian sendiri. Tiada langsung rasa belas dihati ibunya.

Sampai hati mak....”

Di hospital, Yusnizam makin tidak keruan. Apa yang disampaikan oleh doktor buat pengetahuan dia dan adiknya cukup menyesakkan jiwa. Betapa payahnya untuk di terima dengan tabah. Penyakit ibunya sudah sampai ke tahap paling kritikal. Kuman telah merebak ke sistem sarat dan otak. Saat ini memang tiada apa lagi usaha yang mampu dilakukan selain bergantung kepada takdir Ilahi.

Astagfirulahalazaim... Kesihatan puan Nafisah semakin buruk. Tetapi Zulaika masih tidak dapat nak tolong Yusmawati menjaga ibunya.

Mak, tolonglah izinkan Ika melawat mak Yus. Sekejap pun jadilah. Fikirlah mak... Yus juga bukan siapa-siapa pada kita tetapi mengapa dia membantu kita?”

Dia tak bantu aku!!!! Dia bantu kau sebab dia nakkan kau!!”

Hanya Tuhan yang tahu gelora rasa bersalah di hati Zulaika saat ini. Disaat insan mulia itu memerlukan, Zulaika tidak dapat berada di sisi. Zulaika bersyukur kerana, biarpun diuji sebegini hebat, Yusnizam tetap dan semakin tabah. Zulaika kerapkali memberikan semangat agar Yusnizam terus tabah dengan dugaan ini.

Zulaika tiada cara lain selain mencuri masa untuk pergi ke hospital menjengah insan mulia itu. Kalaulah insan mulia itu tahu apa yang dihadapinya saat ini, pasti dia juga berasa kecewa. Di mana naluri seorang ibu? Zulaika menggagahkan diri untuk di sisi insan mulia itu. Biarpun tidak lama, Zulaika merasa mungkin dengan kehadirannya mampu memberikan semangat untuk insan mulia itu terus hidup.

Zulaika mencari wad PCCU di tingkat 3 Hospital Tengku Ampuan Afzan. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, matanya tercari-cari bilik yang dinyatakan oleh pelayan kaunter di tingkat bawah sebentar tadi. Nasib Zulaika baik. Bilik yang dicari betul-betul di sebelah kanan lif. Mungkin Dia permudahkan perjalanan Zulaika. Sebaik sahaja pintu bilik itu ditolak, Zulaika menangis tersak-esak. Diserbu ke arah insan mulia itu. Dikucup jemari yang sudah tinggal kulit dan tulang. Sedih meruntun jiwa dan hati Zulaika sebaik sahaja melihat badan puan Nafisah yang semakin kurus dan penuh dengan wayar-wayar yang mencucuk seluruh tubuhnya.

Puan Nafisah ibarat menerima ihsan untuk terus hidup dari mesih-mesin yang kaku. Senyuman yang selalu diukir buat ku tiada lagi melainkan hanya pejam mata. Begitu payah untuk dibuka matanya. Zulaika begitu kecewa sekali. Kecewa dengan sikap ibunya yang melarang dia dari menatap wajah insan mulia yang kini terlantar derita di depan matanya. Kerana kebencian ibu terhadap Yusnizam, Zulaika turut sama berdepan halangan untuk berbakti kepada insan semulia puan Nafisah.

Zulaika meminta izin ke bilik air sebentar. Dia berkumur tiga kali. Kemudian, dibasah kan seluruh muka, lengan, dahi, telinga dan akhir sekali kakinya sebanyak tiga kali. Zulaika berwuduk. Zulaika mahu membaca surah Yassin dan bermunajat untuk kesihatan dan keselamatan insan mulia yang berada di depan matanya kini. Sambil menggenggam jemari pucat puan Nafisah, Zulaika mengalunkan bacaan Yassin perlahan dalam tangisan. Puan Nafisah juga mengalir airmata mendengar bacaan Zulaika yang begitu sayu. Puan Nafisah tidak terlepas dari terus menatap wajah Zulaika biarpun dalam serba kepayahan yang bukan kepalang. Zulaika kian sebak. Kesayuan kain membanjiri di segenap ruang hati mengenangkan derita insan mulia yang amat disayanginya.

Selepas membaca Yassin, Zulaika terus memeluk dan mencium puan Nafisah penuh kasih sayang. Mengalir air matanya. Puan Nafisah membisik sesuatu di telinga Zulaika. Payah benar untuk dibutirkan kata-kata. Namun digagah jua. Mungkin itu kata-kata terakhir buat gadis yang dianggap bagai anak sendiri. Zulaika masih dapat mendengar kata-kata yang dibisikkan ditelinganya. Diangguk tanda janji akan yang akan Zulaika laksanakan. Puan Nafisah cuba juga untuk tersenyum. Seketika kemudian pintu ditolak perlahan. Yusmawati baru sahaja selesai menjamah sedikit makanan di kantin hospital. Jam semakin menghampiri pukul lima. Zulaika terpaksa memohon keizinan untuk pulang. Zulaika harus pulang dan akan dipaksa menghadap lagi ‘maharani’ di rumah yang kian panas buat dirinya.

Zulaika memeluk dan mencium lagi insan mulia yang sudah dianggap sebagai ibu sendiri. Sampai di rumah, Zulaika tidak memperdulikan ibunya yang memandang tajam penuh benci terhadapnya. Zulaika sedar, ibunya hanya menanti peluang untuk menghiris hatinya lagi. Zulaika membersihkan diri dan selepas menunaikan solat Isya Zulaika berdoa kepada Allah s.w.t Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ya Allah Ya Tuhanku... Aku bermunajat padaMu malam ini dengan penuh harapan agar diberkati ibu Nafisah. Kau berilah kekuatan buatnya untuk menghadapi ujian kecil padaMu tetapi amat berat buatnya sebagai hambaMU yang serba daif. Andainya boleh dipindahkah deritanya itu, aku rela untuk menjadi galang gantinya Ya Allah.Berilah kesempatan untuk insan mulia ini terus mengecapi kebahgiaan. Berikan lah aku kesempatan, untuk terus mengecap kemesraan dan kebahgiaan bersamanya Ya Allah. Aku mohon padaMu Ya Allah...

Ya Allah Yang Maha Agong... Kau permudahkan jalan buatku dan Yusnizam andai telah Kau tetapkan dia milikku dan aku milikknya. Jangan lah kau timpakan ujian-ujian yang tidak termampu kami lalui. Jangan terus-terusan kau berikan ujian yang amat menghiris hati dan perasaannya. Kau jauhkanlah hinaan, cacian dan herdikan dari mulut ibuku dan orang-orang yang tidak menyukai ikatan yang kami bina ini Ya Allah. Sesungguhnya padamu tempat kuserah segala harapan dan pertolongan. Amin Amin Ya Rabbal Alamin....”

Sepanjang bermunajat, Zulaika menangis melepaskan derita dihatinya. Ketika itulah, Zulaika terasa ada sesuatu yang aneh saat dia sedang asyik bermunajat. Jemarinya terasa ada bauan bunga melor yang sangat menusuk ke hidungnya. Zulaika berasa hairan dan hatinya menjadi tidak tenteram. Apakah makna semua ini Ya Allah? Adakah.... Zulaika tidak sanggup untuk terus memikirkan kemuingkinan itu.

Esoknya ketika bertemu Yusnizam, Zulaika membantu Yusnizam seperti biasa. Tidak diceritakan perasaan dan bau aneh yang dirasainya malam tadi. Tidak mahu ditambahkan kerisauan di hati Yusnizam. Zulaika hanya mohon pada Dia agar dijauhkan semuanya dari terjadi. Biarlah Zulaika pendamkan perasaan tidak bagus itu dibenak fikirannya semata-mata.
Zulaika datang kerja pagi itu juga dengan hati yang sebal. Melangkah keluar sahaja dari bilik tidur, puan Rokiah sudah membebel bila mana dia mendapat tahu Zulaika pergi juga melawat puan Nafisah di hospital. Tentunya dia medapat berita dari siapa-siapa yang ternampak Zulaika pulang malam tadi. Zulaika tidak mempedulikan biar apa yang dikatakan memang menghiris perasaan.

Entah kalau nanti aku yang sakit nak mati...belum tentu kau akan berkorban sampai macam tu. Yalah, aku ni jahat, busuk hati, kejam. Dia tu mulia, baik...”

Megapa sampai begitu sekali tergamaknya ibu mengatakan kepada dirinya. Terus sahaja Zulaika keluar dari terus mendengar bising hinaannya. Kenapa ibu tidak dapat memahami keadaannya saat itu? Salahkah untuk Zulaika melawat insan yang sebegitu baik seperti puan Nafisah? Kecewa dengan sikap ibunya, petang itu, Zulaika pergi lagi ke hospital. Ditatap wajah tua yang kian pucat dan menyusut. Zulaika menangis lagi tiap kali menatap wajah puan Nafisah. Zulaika meluahkan perasaannya...

Ibu..... Kenapa ibu diuji sebegini rupa. Ika sendiri sendiri tak sanggup melihat. Apa lagi ibu yang menanggung. Betapa beratnya ujian Allah untuk ibu. Ika cuma mampu berdoa agar ibu kuat menghadapi dugaan ini. Ika mahu ibu terus berjuang agar ibu dapat kembali seperti dulu. Ika nak tengok ibu segera sihat dan mampu ketawa. Ika belum puas bermesra dan bermanja dengan ibu. Bagi Ika, ibu dah macam ibu Ika sendiri. Ikan sayangkan ibu. Benar-benar Ika sayangkan ibu....Kalaulah Tuhan boleh pindahkan derita ini, Ika sanggup menanggung derita yang ibu hadapi sekarang ni. Ika mahu ibu sihat. Ika rela menanggung derita asalka ibu kembali sihat. Ika mahu ketawa semula. Ika rindukan saat bahagia dengan ibu.Ika mahu ibu sihat. Ika sayang ibu seperti ibu kandung Ika sendiri....”

Dalam kepayahnya diluahkan kata-kata buat Zulaika.

Sa...bar lah Ika. Ibu juga sa...yangkan... Ika. Ibu janji.. Ibu akan si..hat. Tak lama lagi ibu bo...leh pulang. Ibu a....kan pu...lang kepadaNya. Ika jaga di...ri, jaga so...lat, jaga si...kap. Jadi anak ya..ng ba..ik. HambaNya yang ba...ik. Re..dha dengan apa yang ter...jadi. Sabar... Ta..bah...Inysa...Al...llah, kejaya...an mi....lik or...rang-orang yang sa..bar...”

Yusnizam masuk ke dalam bilik ibunya bersama doktor yang merawat. Yusnizam membisik sesuatu di telinga Zulaika. Ibu harus dibawa pulang ke rumah kerana pihak hospital tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Pada hemat mereka, insan mulia ini secara klinikalnya tidak dapat diselamatkan lagi dan hanya menanti masa untuk pergi mengadap Ilahi. Pihak hospital merasakan biarlah insan mulia ini kembali dan ‘pergi’ di rumahnya sendiri. Zulaika menangis semahunya bila diberitahu Yusnizam. Namun ibu begitu tabah dan masih mampu tersenyum.

Selama seminggu Yusnizam pulang ke kampung untuk turut sama di sisi menjaga ibunya di penghujung usia. Pelbagai rawatan cara kampung juga diusahakan. Tetapi semuanya tidak lagi menunjukkan perkembangan yang baik. Zulaika hanya mampu menghadiahkan bacaan Yassin dan doa saban hari. Hendak bertandang ke rumah Yusnizam, agak jauh baginya. Ditambah lagi dengan sikap ibunya. Cempaka Adrian juga harus dibuka kerana tempahan masih banyak untuk disiapkan. Mahu tidak mahu terpaksa juga Zulaika mengalah kepada ketentuan takdir. Dikuatkan semangat untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa.

Petang esok Zulaika berazam mahu menjengah ke rumah Yusnizam. Lagi pula ibu nya telah balik ke kampung di Kedah. Sekurang-kurangnya Zulaika mempunyai sedikit kesempatan untuk berada di sisi insan mulia itu lagi. Namun petang itu hati Zulaika terasa begitu berdebar. Perasaannya tidak tenteram. Bagai ada sesuatu yang berlaku. Hati Zulaika kacau kerana tidak tahu apa yang bakal terjadi. Adakah ibu Yusnizam yang makin tenat atau ibunya mengatur sesuatu untuk mengubah hati Zulaika di Kedah? Jika tidak masakan ibunya pulang tergesa-gesa ke sana?

Menjelang jam satu dua puluh petang, hampir-hampir menjengah waktu Zohor, Zulaika menerima satu panggilan dari Yusnizam.

Ika... Mak dah tak da.... Mak dah pergi tengah hari tadi.”

Ringkas tetapi bagai mencabut nyawa Zulaika. Menangis lagi Zulaika semahunya. Innallillahiwainnal hilahirrajuun.... Itu yang termampu diucapkan oleh Zulaika. Terus ditutup Cempaka Adrina Collection. Zulaika menelefon rakan untuk pergi melawat bersamanya. Jika mahu ditunggu bas yang masuk ke Bukit Gula, entah bila akan sampai ke Felda Jengka 23.

Selesai solat Zohor, Zulaika sudah bersiap sedia. Ayahnya ikut sekali ke sana. Zulaika berterima kerana kawannya Fatiah dan Nurhaya yang sudi mengikutnya. Nurhaya memandu berhati-hati. Sampai di perkarangan rumah, kelihatan orang ramai sedang berkumpul. Ada yang bergotong royong menyiapkan keranda. Lantas menangis lagi Zulaika. Yusmawati menyambut kedatangan Zulaika. Yusnizam juga bersalaman dengan pak ayah Zulaika. Bagaikan faham, Zulaika memberitahu ibunya pulang ke kampung.

Zulaika menatap wajah pucat di depan matanya. Dikucup dahi arwah perlahan dan memang Zulaika tidak dapat memujuk hatinya. Zulaika memangis. Dikucup berkali-kali dahi jenazah di depannya. Sekali lagi Zulaika dapat terhidu bauan yang cukup harum. Zulaika teringat situasi yang sama semasa dia berdoa tempoh hari. Adakah ini petanda yang diutuskan oleh mu Ya Tuhan? Moga ibu ditempatkan disisi mereka-mereka yang beriman dan diredhai. Pak Zakaria mententeramkan Zulaika. Yusnizam juga meminta Zulaika banyak-banyak bersabar. Majlis bacaan Yassin dan tahlil di teruskan sementara menanti kehadiran abang sulung Yusnizam. Yusmadi dijangka akan sampai dari Kuala Lumpur sekitar jam empat.

Zulaika membaca Yassin dalam kepayahan. Hari ini Zulaika tahu, menjadi hari terakhir buatnya untuk berjumpa dengan insan mulia ini sebelum jenazah dihantar ke tempat persemadiannya. Zulaika terkilan kerana tidak dapat menjadi menantunya dalam masa terdekat. Ketika hanyatnya masih ada. Namun, sepanjang tempoh yang singkat, insan mulia ini telah banyak meninggalkan kenangan manis buat Zulaika.

Dan petang itu, segalanya berakhir. Puan Nafisah selama dikemumikan di sisi suami nya yang telah lama menanti kehadirannya. Hari ini mereka kembali disatukan. Dan hari ini mereka akan bersama-sama menyaksikan anak-anak mereka meneruskan hidup tanpa mereka. Mereka juga pastinya ternanti-nanti saat untuk Yusnizam dan Zulaika membina mahligai bahgia bersama.

No comments:

Post a Comment