Wednesday, July 07, 2010

Cerpen : Akhirya Ku Tahu Derita Seorang Guru

“Mak… Hamdi nak jadi cikgu lah.”
“Kenapa? Kan Hamdi nak sangat jadi polis? Sekarang Hamdi dah dapat peluang kenapa pula nak dilepaskan?”
“Entah lah mak… Tapi Hamdi rasa Hamdi mahu jadi guru.”
“Hamdi… Jadi guru ni bukan mudah. Memang nampak senang. Kerja separuh hari, ada banyak cuti. Gaji pun besar. Tapi Hamdi kena ingat satu perkara.”
“Apa dia mak?”
“Tanggungjawab…. Jadi guru ni Hamdi… Tanggungjawab sangat berat!!! Sebab pada guru lah, penentu sesorang murid itu menjadi polis atau pencuri. Menjadi perwira atau pengkhianat. Menjadi manusia berguna atau sampah. Mak tak mahu Hamdi jadi guru semata-semata kerana kerja mudah, cuti banyak, atau apa saja yang Hamdi fikir jadi guru itu mudah.”
“Emmm… Entah lah mak. Tapi hati Hamdi nak jadi guru. Sebab Hamdi tertarik dengan sikap seorang guru di sekolah Hamdi dulu. Mak pun kenal dia. Cikgu Taufik. Cikgu Matematik Hamdi.”
“Oooo cikgu Taufik. Mak kenal dia. Apa yang mebuatkan Hamdi tertarik dengan sikap cikgu Taufik tu?”
“Hamdi kagum dengan kesungguhan dia mengajar matematik. Macam-macam cara yang dia buat mak. Semata-mata nak semua pelajar dia boleh lulus matematik. Hamdi dulu pun, tak pandai matematik kan. Mak sendiri tahu. Hamdi ni malas nak kira-kira. Tapi sebab cikgu Taufik, Hamdi lulus dengan baik dalam SPM.”
“Bagus lah kalau macam tu. Mak akan sentiasa menyokong pilihan yang Hamdi buat tau. Cumanya, mak harap… Bila Hamdi pilih menjadi cikgu, jadi lah cikgu yang benar-benar bertanggungjawab. Jangan jadi guru yang sekadar melepas batuk di tangga atau jadi cikgu yang hanya tunggu gaji setiap 25 haribulan.”
“InsyaAllah, Hamdi pegang amanat mak dan Hamdi akan usaha jadi guru yang baik. Mak doakan lah kejayaan anak mak ni ya.”

Hamdi berasa amat gembira. Hatinya melonjak riang bila emaknya memberi restu untuk dia memilih memasuki institut perguruan. Memang dahulu Hamdi mahu jadi polis. Tapi itu dahulu. Sekarang sudah lain.

Hari ini Hamdi mendaftar diri di Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan. Nun jauh di Kuala Lipis. Hamdi tinggalkan segalanya di Perak Darul Ridzuan. Bagi Hamdi mungkin rezekinya di bumi orang. Tapi Hamdi ingat kata-kata arwah ayahnya yang mana “di mana bumi dipijak, disitu langit dijunjung”. Hamdi telah menghantar surat penolakkan untuk memasuki Akademi Polis. Hamdi mahu jadi guru…

Ramai ibu bapa yang datang menghantar anak-anak mereka mendaftar. Tetapi Hamdi datang bersendiri. Sedih juga hati kecilnya. Tapi Hamdi tahu dia mesti tabah. Dia faham keadaan ibunya. Kehidupan yang dicengkam kemiskinan tak memungkin kan Hamdi sampai hati untuk menyusahkan ibunya. Biarlah ibu menghantar Hamdi hanya setakat di stesen bas. Itu sudah memadai. Kerana Hamdi tahu doa ibu sentiasa ada buatnya. Biarlah ibu menguruskan adik-adiknya yang lebih perlukan perhatian. Hamdi sudah mampu membawa diri sendiri.

Sepanjang minggu orientasi, Hamdi lalui dengan cekal. Dan begitu juga bila sudah mula memasuki dewan kuliah. Hamdi belajar segigih yang mampu. Tiada masa untuk Hamdi lekakan dirinya dengan membuang masa dengan sia-sia. Bagi Hamdi, dia tidak sanggup untuk merasai erti kegagalan. Hamdi tidak mahu melihat air mata ibunya tumpah kerana kegagalan. Hamdi mahu ibu menangis gembira.

“Di… Betul-betul ke Di pilih Sarawak? Orang ramai yang nak elak tapi Di nak ke sana. Ada apa-apa ke? Atau ada buah hati di sana?”
“Tak da sesiapa pun yang menanti Di di sana Nia. Memang Di mahu ke sana sebab Di mahu membantu masyarakat di sana. Di rasa terpanggil. Kita tengok Sarawak ni hampir sama besar Semenanjung kan. Hasil negeri juga banyak dengan minyak, balak, lada hitam dan macam-macam. Tapi kenapa rakyatnya masih ramai yang miskin dan terpinggir?”
“Di ada jawapan ke untuk itu?”
“Ya… Sebab mereka di sana masih ramai yang belum mampu membuka mata untuk melihat dunia luar. Mereka masih menganggap cukup dengan apa yang mereka ada. Bagi mereka kerajaan pasti akan membantu mereka. Jadi tugas kita sebagai guru untuk ubah tanggapan mereka. Hidup mereka, di tangan mereka.”
“Wow… Kagum Nia dengan Di tau.. Tapi mak Di setuju ke?”
“Emak tetap merestui apa yang Di buat sebab baginya yang penting Di mesti jujur dan bertanggungjawab.”

Dahnia satu-satunya sahabat yang menjadi rakan bicara Hamdi. Mungkin kerana latar kehidupan yang sama-sama dari golongan yang susah. Sepanjang tiga tahun di IPTAA, Hamdi selalu belajar bersama Dahnia. Tapi bulan depan, masing-masing akan membawa haluan sendiri. Hanya menanti surat tawaran mengajar. Pengajian di IPTAA sampai ke penghujung dengan Hamdi dan Dahnia sama-sama mencapai keputusan yang cemerlang. Mereka mendapat anugerah guru pelatih terbaik.

“Assalammualaikum Nia… Hamdi ni. Di dapat ke Sarawak tau. Emak pun dah bagi restu Di ke sana. Nia dapat mana?”
“Nia ikut Hamdi boleh?”
“Kenapa?”
“Nia pun dapat Sarawak juga. Hari tu memang Nia cakap Nia minta Johor. Tapi last minute Nia juga minta Sarawak. Nia tukar lepas Nia rasa tertarik dengan pendapat Hamdi tau. Dan lega dapat Sarawak. Mana tau satu sekolah pula ke nanti..”
“Oh ya.. Macam tu kita jumpa nanti. Ya, harap-harap satu sekolah. Ada juga kawan.”

Hari yang dinanti tiba. Hamdi terasa hiba juga mahu meninggalkan tanah tumpah darahnya. Tapi ini adalah pilihannya. Hamdi mesti tabah dan teguhkan pendirian.

“Hamdi… Jaga diri baik-baik di tempat orang. Solat jangan tinggal. Jangan ingat nak sombong diri dan ingat lagi.. Guru ini pekerjaan mulia. Jangan dicemari dengan sikap yang tidak sepatutnya. Ingat pesan mak ya Hamdi…”
“InsyaAllah mak, Hamdi akan ingat. Mak jaga diri baik-baik dan tolong-tolong tengok kan adik-adik Hamdi ni. Kalau ada apa-apa mak bagitau Hamdi. Jangan sorok apa-apa tau sebab Hamdi tak mahu mak bersusah demi untuk tak mahu Hamdi susah hati di Sarawak. Susah senang kita-sama tanggung ya mak. Hamdi pergi dulu..”

Buat pertama kalinya dalam hidup Hamdi, dia berada di langit biru. Membelah awan yang memutih. Hamdi panjatkan rasa kagum dengan ciptaan Allah yang Maha Kuasa. Betapa hebatnya Dikau Ya Allah. Terlalu kerdil jika mahu dibandingkan. Hari ini hari pertama Hamdi di sekolah. Perasaanya bercampur baur antara takut dan bersemangat. Hamdi bertemu dengan Pengetua yang juga majikan barunya.

“Selamat datang ke SMK Sri Paku cikgu Hamdi dan Cikgu Dahnia juga. Kebetulan, kamu berdua dari satu Intistut, jadi adalah kawan. Mana tahu ada rezeki kamu balik nanti pun sama-sama. Dapat jugalah saya merasa nasi minyak guru sekolah saya.”

Pengetua memulakan bicara dengan usikan penuh makna. Hamdi dan Dahnia hanya tersenyum. Mereka berasa selesa dengan sikap pengetua yang sebegitu. TIdak terlalu garang atau menyombong diri.

“Beginilah, saya sudah arahkan PK1 aturkan jadual kamu berdua mengikut major kamu. Saya harap benar kehadiran kamu berdua mampu mengubah iklim di sekolah ini. Mungkin orang luar mampu membuatkan suasana di sini jadi lain.”
“Maksud cikgu?”
“Kamu akan faham maksud saya bila kamu bila kamu masuk ke kelas nanti. Nasihat saya ialah kuatkan semangat dan jangan mudah putus asa.”
“InsyaAllah cikgu.”
“Ok, sekarang saya akan perkenalkan kamu berdua dengan guru-guru dan staff di sini. Kemudian saya bawa kamu meninjau kawasan sekitar sekolah.”

Hamdi dan Dahnia mengekor sahaja. Tetapi seperti yang dikatakan oleh pengetua, Hamdi perasan ada sesuatu yang pelik. Dari jauh dia dapat melihat ramai pelajar yang ke hulu ke hilir, dan ada yang tidur di dalam kelas. Bising apatah lagi. Ramai juga yang berbaju tidak dimasukkan ke dalam seluar. Rambut panjang dan bertatoo. Bermain di benak fikiran Hamdi… Inikah yang dikatakan oleh pengetua tentang iklim di sekolah ini? Jika benar, memang berat benar tanggungjawab dan harapan yang di sandarkan oleh pengetua kepada mereka berdua.

Selesai meninjau kawasan sekolah, Hamdi dan Dahnia duduk seketika dan mereka berbual sesama sendiri.

“Macam mana Nia? Kau rasa agak-agaknya macam mana budak-budak kat sini?”
“Nia rasa teruk kita ni nanti Di. Tengok teruk aja perangai mereka tu.”
“Nia takut ke?”
“Takut tu tak lah. Tapi gusar. Tengok tadi masa kita lalu di kelas 5G, selamber saja budak laki tadi tu terajang kawannya. Depan-depan pengetua dan kita.”
“Ha… Ini lah tugas kita Nia. Kita di semenanjung mungkin dan kurang sangat kes yang macam ni. Sekarang kita ke sini nak ubah benda-benda macam tu lah. Jangan kita yang terikut-ikut cara mereka. Kita kena bawa perubahan tau. Cuba tengok ni…”

Hamdi menunjukkan satu halaman di majalah sekolah yang dia dapat dari rak buku di bilik guru. Dahnia melihat sama.

“Teruknya… 5 tahun SPM matematik dan English tak pernah capai 50%? BM pun sekitar 70 ke 80% saja. Ini kes berat ni Di..”
“Dan sebab itu, Di tanam dalam diri Di dan Di bagitau Nia sekarang. Di takkan minta pindah selagi Di gagal untuk tukarkan pencapaian ni kepada 75%. Ni janji Di. Kalau Nia nak balik dulu pun tak pa. Di akan terus di sini sehingga capai 75%. Biarlah terpaksa di sini 10 tahun ke, 15 tahun ke…”

Esoknya adalah hari pertama Hamdi memasuki kelas. Hamdi diberikan amanah untuk mengajar matematik tingkatan 4B, 4D, 4F dan 5C. Hamdi juga menjadi guru tingkatan 4F menggantikan cikgu Yee Neo yang merupakan guru sandaran tidak terlatih di situ. Manakala Dahnia mengajar sains menengah rendah. Hati Hamdi berdebar untuk masuk ke 4F. Kelas yang paling hujung dalam tingkatan 4.

Masuk sahaja ke muka pintu kelas, Hamdi terkesima. Kelas begitu kotor dengan sampah bertaburan. Papan notis berlubang-lubang. Papan hitam juga masih belum berpadam. Penuh dengan contengan yang pelbagai. Pelajar pula ada yang sedang enak tidur. Ada yang sedang berbual-bual dan ada juga yang menyisir rambut rakan. Semua bagai tak kisah dengan kehadiran Hamdi. Biadap benar mereka ini. Getus hati kecil Hamdi. Tapi Hamdi tabahkan hati.

“Ok kelas… Semua bangun. Kejutkan kawan kamu yang tidur. Semua berdiri.”
“Mereka sik mauk bangun cikgu. Memang selalu macam nya.”
“Kejutkan mereka. Cucuk pinggang kawan kamu tu.”
“Oiiiit… Bangun, cikgu udah di depan ya… Kelak di paluk baru padan muka kau!!”
Hampir lima minit baru semua pelajar bangun. Hamdi meletakkan buku panduan mengajarnya dan dia melihat terus ke mata seorang demi seorang pelajar yang ada di depannya. Hamdi ingat pesan ayahnya. Semasa berdepan dengan orang, pandang tepat ke matanya. InsyaAllah, orang itu akan lembut terhadapmu. Itu kata ayah yang masih Hamdi ingat.

“Selamat pagi semua.”
“Selamat pagi cikgu.” Dijawab acuh tak acuh.
“Selamat pagi semua.” Hamdi mengulang dengan lebih kuat.
“Selamat pagi cikgu…” Dijawab dengan kuat juga dan terus ada yang duduk.
“Bangun dulu. Cikgu belum benarkan kamu duduk. Sekarang Cikgu mahu kamu semua kutip sampah yang ada di sekeliling kamu dan buang dalam tong sampah. Ini kelas untuk belajar bukan buang sampah. Ilmu susah mahu masuk kalau belajar dalam kelas yang kotor macam ni. Semua kutip sampah di sekeliling kamu.”

Hamdi turut sama mengutip sampah yang ada di sekeliling meja guru. Pelajar yang lain turut mengutip. Barangkali melihat guru mereka turut serta. Mereka berasa malu-malu alah. Dipadam papan hitam bersih-bersih dan kemudian ditulis namanya.

“Nama cikgu Hamdi Bin Abdul Aziz. Cikgu juga guru kelas kamu yang baru.”
“Kitak asal mana cikgu? Semenanjung kah?”
“Sabar dulu. Cikgu akan ceritakan pada kamu tentang diri cikgu”

Semua pelajar mula diam dan tekun mendengar. Hamdi memperkenalkan dirinya secara teratur. Semua pelajar medengar dan ada yang tersenyum dan ketawa bila Hamdi membuat usikan nakal untuk mengawal mood kelas. Kemudian setiap pelajar memeprkenalkan diri seorang demi seorang.

“Nama aku tuk, Clinton Anak Buih. Aku diau di rumah panjai di Seratok. Apai aku petani. Aku anak tuai. Hobi aku berlagu. Cita-cita aku nyadi driver traktor.”
“Ok, terima kasih.. Semua sudah saling kenal. Cuma cikgu mungkin ada juga yang tidak faham apa yang kamu cakapkan kerana kamu gunakan bahasa Iban. Apapun, cikgu cuba untuk belajar bahasa kamu tu perlahan-lahan. Cikgu mahu tahu, siapa yang lulus matematik dalam ujian bulan 2 yang lepas?”

Tak siapa yang angkat tangan. Masing-masing ketawa. Hamdi sudah faham.

“Langan, berapa kamu dapat dulu?”
“12 cikgu. Paling tinggi pun 27. Angelyn. Lain semua bawah 15. Pedih mai cikgu.”
“Matematik tak susah sebenarnya kalau kamu tahu cara untuk belajar.”
“Cikgu, kitak sudah kahwin bedau. Cikgu baru induk tu isteri kitak kah?”

Tiba-tiba Mariana mencelah. Kelas hangar bingar mentertawakan dia. Hamdi diam.

“Belum lagi. Tapi sekarang bukan masa untuk bercakap pasal kahwin. Sekarang kita bercakap dulu pasal belajar matematik. Cikgu mahu tahu… Siapa yang betul-betul tidak mahu belajar matematik?”

Tidak ada seorang pun yang mengangkat tangan.

“Tengok… Semua kamu mahu belajar matematik. Jadi kamu sudah ada niat dalam diri kamu, yang kamu mahu belajar. Bagus itu. Tapi bagaimana kamu mahu belajar? Adakah dengan hanya kata, kamu belajar tapi tiada usaha? Raphael, macam mana kamu mahu belajar matematik?”
“Salin apa yang cikgu tulis.”
“Kalau cikgu tak tulis? Kamu pun tak buat apa-apa lah? Salah cara kamu tu. Kamu seharusnya mencuba dahulu. Jika tidak tahu baru bertanya rakan atau guru. Itu cara yang sepatutnya kamu lakukan, Mengharapkan cikgu semata-mata tak boleh.”
“Tapi cikgu Yee Neo dulu tak best. Garang sangat. Dia selalu ajar Angelyn sahaja. Tahu lah dia pandai sikit. Kami di dibiar.”
“Ok, cikgu tidak garang. Tapi cikgu akan tegas bila waktu cikgu kena tegas. Kamu juga kena belajar waktu kamu kena belajar. Waktu kita berbual, kita boleh berbual. Pada cikgu, semua sama sahaja. Angelyn ke, Langan ke, Clinton ke ataupun siapa-siapa sahaja. Sama sahaja pada cikgu.”
“Amai cikgu? Nadai bulak aku tuk.”
“Apa kamu cakap?”
“Martina kata betul kah cikgu? Jangan tipu dia.”
“Oh… Ya betul… Bagi cikgu, kamu semua sama. Cikgu akan bantu kamu sekiranya kamu betul-betul mahu belajar. Kalau kamu sendiri tak mahu, cikgu pun sama.”
Kelas 4F betul-betul terkawal hari ini. Hamdi puas hati sebab kehadirannya di kelas hari ini memberi petanda positif.

“Kenapa Joseph dan Micheal tidak hadir?”
“Kena gantung sekolah. Gaduh dengan budak Tingkatan 5.”
“Ini cikgu tak mahu berlaku lagi. Satu cikgu mahu kamu ingat. Walaupun kamu di kelas yang paling hujung, tak bermakna kamu ini teruk. Kamu mungkin lemah dalam pelajaran, tapi kamu boleh tunjukkan kelebihan kamu dari segi disiplin. Terus terang cikgu katakan, kunci utama kejayaan adalah disiplin yang terpelihara. Kamu faham maksud cikgu?”

Loceng berbunyi. Kelas matematik berakhir dengan perbualan antara Hamdi dengan pelajar-pelajarnya. Hamdi merasakan dia berjaya membetulkan sikap pelajar kelas 4F. Hamdi melangkah ke bilik guru. Dalam perjalanan, Hamdi disapa oleh cikgu Rosli. Hamdi berbual sambil beriringan ke bilik guru.

“Macam mana kelas 4F tadi? OK atau macam hantu?”
“OK cikgu. Semua dengar sahaja apa yang saya cakapkan.”
“Mungkin sebab kamu baru. Atau mungkin masa tu sahaja mereka diam. Lepas tu balik ke asal.4F ni kelas yang budak-budak macam telinga kuali. Tak makan nasihat. Cakap pagi ni, petang sudah lupa. Balik ke asal.”
“Yakah? Saya tengok tadi ok saja.”

Sampai di bilik guru, Hamdi lihat Dahnia duduk bersendiri. Hamdi mendekatinya.

“Kenapa monyok aja?”
“Kelas 3C tadi… Apa yang Nia ajar semua mereka tak faham. Penat Nia cakap tapi bila di soal semua diam.”
“Kenapa? Soalan susah ke?”
“Tak lah… Nia tanya “can you tell me the coluor of rainbow?. Sorang pun tak dapat jawab. Tak susahkan soalan tu?”
“Pada Nia tak susah… Tapi pada mereka mungkin susah. Cuba Nia soal dalam BM. Mungkin mereka dapat jawab. Kan Nia tau di sini English tu macam bahasa asing buat mereka. Dah lah… Sabar banyak-banyak dan esok usaha lagi tau.”
Esok datang lagi. Sekali lagi Hamdi akan masuk ke kelas 4F. Semangat Hamdi berkobar untuk memulakan pengajarannya. Laju langkah di atur agar tidak terlewat masuk ke kelas. Namun Hamdi hampa. Benar kata cikgu Rosli.

Kelas kotor dengan sampah bertaburan. Ramai yang tidur dan ramai yang berbual sesama rakan. Ada yang sedang bermain di belakang kelas. Langsung mereka tidak menghiraukan kehadiran Hamdi. Hanya beberapa orang pelajar yang betul-betul mendengar apa yang disampaikan semalam. Mereka mengarahkan rakan-rakan lain duduk. Tapi langsung tidak diendahkan. Hamdi mengetus geram. Namun apakan daya. Hamdi masuk dan meletakkan buku panduan mengajar di atas meja. Hamdi pandang lagi seorang demi seorang pelajarnya. Masih ada lagi yang bermain-main.

“Kamu ke sini…”

Pelajar itu buat tak kisah. Dia berhenti main dan duduk di kerusi. Dibuka butang baju dan duduk di bawah kipas untuk menghilangkan rasa panas.

“Kamu faham tak soalan cikgu? Cikgu kata kamu datang ke sini!!”

Hamdi mengeraskan nada suaranya. Terasa getar geram dan dan marah pada suaranya. Pelajar itu menghampiri. Tapi tiada riak sesal apa lagi takut. Hamdi lihat tanda nama di baju pelar tersebut. Pelajar tersebut lebih besar darinya.

“Owh, awak lah Joseph. Yang baru habis tempoh pengantungan. Bagus lah. Harap lepas ni kamu berubah. Dan cikgu….

Belum habis Hamdi bercakap, Joseph terus keluar kelas. Tanpa langsung mendapat kebenaran. Benar-benar kurang ajar dan biadap. Hamdi memberi arahan kepada Angelyn untuk menulis di papan hitam. Hamdi mahu mendapatkan Jospeh semula.

Sementara Angelyn menulis nota di papan hitam, Hamdi mengekori Joseph. Ditarik tangan Joseph dan diminta duduk di bangku rehat berdepan padang sekolah. Joseph tidak membantah tetapi tetap langsung tiada rasa hormat.

“Kamu ni kenapa? Tidak baik kamu bersikap begini kepada guru kamu.”
“Nuan tuk sapa? Apai aku pun nadai kiruh enti kitak ingar? Suka hati aku lah mauk macam mana pun? Kalau kitak sik suka, anang ambil peduli sama aku.”
“Joseph, dengar dulu apa cikgu mahu cakapkan. Mungkin ayah Joseph kurang arif tentang nilai dan adab sopan. Sebab itu dia hantar Jospeh ke sekolah. Supaya Joseph dapat belajar daripada guru-guru. Kalau Joseph datang sekolah tapi masih bersikap macam ni, tiada gunalah dia hantar Joseph. Sia-sia sahaja.”
“Kitak sik faham. Apai aku tuk, yang dia tahu minum langkau, main judi, sabung ayam. Lain sik pandei. Kitak madah memang mudah. Aku tuk yang tanggung susah keluarga. Ada bapak sik boleh pakei.”
“Tak baik cakap macam tu. Sebab tu, Joseph kena belajar betul-betul. Di bahu Joseph lah terletak harapan mak Joseph kalaupun bukan ayah. Untuk ubah nasib diri dan keluarga Joseph tu. Sudah lah, jom masuk kelas. Buat azam baru dan cikgu yakin Joseph boleh buat yang terbaik.”

Joseph tidak bergerak dari bangku. Hamdi berlalu dan menuju ke kelas. Sampai di kelas, sekali lagi Hamdi melihat situasi yang sama. Kembali bising dan bagai hilang arah. Hanya pelajar yang sekumpulan Angelyn yang betul-betul mematuhi arahan. Hamdi merasakan dia perlu berkeras hari ini.

“OK, semua sekali… Berdiri!!! Saya sudah cakap semalam. Waktu belajar, kita mesti belajar. Tapi ada antara kamu yang tidak dengar!! Biadap!!”

Semua terdiam… Hamdi juga diam seketika bila Joseph melangkah masuk ke kelas.

“Sekarang cikgu mahu kamu kutip sampah disekeliling kamu dan buang ke dalam tong sampah. Buat sekarang.”

Pelajar-pelajar bising meluah rasa tidak puas hati. Joseph juga mengutip sampah tanpa banyak cakap. Loceng berbunyi dan berakhir dua waktu yang sia-sia lagi buat Hamdi. Hamdi melangkah keluar tanpa terlebih dahulu sempat pelajar mengucapkan terima kasih. Tidak ada apa yang perlu diucapkan keran aHamdi tidak menyumbang apa-apa hari ini. Akhirnya Hamdi tahu. Betapa derita menjadi seorang guru.

TAMAT

1 comment: