Thursday, July 08, 2010

Cerpen : Diari Seorang Guru Biasa

“Alamak, aku dah terlewat.”

Terkocoh-kocoh cikgu Asri meninggalkan perbaringannya. Entah mengapa dia tidak terdengar bunyi jam loceng yang sentiasa ditetapkan berbunyi 5.45 pagi. Barangkali kerana terlalu keletihan. Masakan tidak. Seharian dia berada di sekolah. Mandi ala kadar dan terus sahaja menunaikan solat subuh. Digapai beg yang selalu dibawanya ke sekolah. Nasib baik tidak ada barang-barang yang dikeluarkan malam tadi. Jika tidak, pasti laptop mahupun buku-buku dikeluarkan untuk dibuat semakan dan ulasan hasil kerja pelajar.

Sementara menanti enjin kereta bersedia untuk melaksanakan tugasan, cikgu Asri menyisir rambut menggunakan sikat yang tersedia ada di dalam kereta. Disarung kasut sukan jenama Power. Terus dia membelok kereta menuju ke arah sekolah. Sekketika diberhentikan keretanya tepat-tepat di hadapan sebuah kedai. Di situ lah saban hari Cikgu Asri membeli beberapa jenis surat khabar. Untuk bacaannya dan tatapan teman sekerja di bilik guru nanti.

Cikgu Asri tersenyum sendiri apabila dia melintasi riak wajah seorang gadis yang saban hari juga menanti bas untuk ke tempat kerja. Dibisik di dalam hatinya

“Aku mesti tegur juga gadis tu. Kalau tak, selamanya aku takkan tahu sama ada dia sudi menjadi kawan aku atau tak. Lagipun aku masih solo. Bukan ada hati sesiapa yang harus aku jaga.”

Riak kelegaan terpancar di wajah cuikgu Asri apabila memasuki pintu pagar sekolah, jam baru menunjukkan pukul 7.20. Masih ada 20 minit sebelum kelas pertama bermula. Pagi ini cikgu Asri akan mengadakan perlawanan futsal antara pelajar kelas PJPK nya. Kumpulan telah dibentukkan pada minggu lepas. Cikgu Asri berjanji, juara akan mendapat RM10 sebagai hadiah. Manakala RM5 untuk tempat naib juara.

Setelah lagi Negaraku dan bacaan doa di aminkan, cikgu Asri terus bergerak ke padang futsal di belakang blok. Menanti dan terus menanti. Seorang demi seorang pelajar turun. Masih ramai yang bersambil lewa, bersembang sesama mereka di merata tempat.

“Saya beri masa kamu lima minit untuk tukar baju kamu. Jika tidak saya denda kamu satu minit sekali pumping.”

Arahan dan amaran cikgu Asri dipandang sepi. Segelintir sahaja yang memberikan reaksi. Cikgu Asri mula terasa panas hati. Sikap pelajar-pelajarnya masih tidak berubah. Minggu lepas baru dia mendenda berlari lima pusingan padang bola, hari ini berulang lagi. Nak disuruh bermain pun payah. Apa lagi disuruh belajar. Menghampiri jam 8.00 pagi baru lah semua pelajar berkumpul.

“Seperti dijanjikan, kita akan buat pertandingan futsal antara kumpulan. Sebelum itu, pelajar yang tidak memakai pakaian sukan dan yang tidak berpakaian sukan lengkap ke sebelah kiri saya.”

Beberapa orang pelajar bergerak ke kiri. Pelajar yang sama seperti minggu lepas. Aliff, Munir dan Syazwan memang tidak pernah membawa baju sukan. Razak, Najdi, Aizat dan Syafiq tidak membawa seluar sukan. Lebih selesa memakai baju sukan dan seluar sekolah.

“Kamu bertiga pumping 10 kali dan kamu pula pumping 5 kali. Sudah berbuih mulut saya pesan bawa baju sukan, pakai baju sukan… Tapi kamu degil. Ketegaq!!! Susah sangat kah nak bawa dan tukar pakaian sukan? Tak sampai lima minit pun.”
“Saya sakit perut cikgu.”
“Saya tergeliat semalam jatuh masamain bola.”
“Kamu?”
“Saya memang tak minat bersukan cikgu.”
“Minat tak minat, apa saja alasan kamu, saya tak peduli. Turun 10 kali.”
Cikgu Asri dapat menangkap salah seorang pelajar itu mengeluarkan kata-kata kesat kepada dirinya kerana tidak berpuas hati.

“Munir, kamu boleh kata apa sahaja pada saya. Sikit pun saya tak marah. Gaji saya tak pernah berkurang pun kalau awak maki hamun saya. Kalau kamu malas belajar, baik kamu jangan datang sekolah. Tolong mak ayah kamu menorah lagi bagus. Daripada kamu ke sekolah, menghabiskan duit yang mereka beri tapi kamu bals dengan buat perangai, gagal dalam pelajaran.”

Pelajar lain terdiam dan hanya mendengar. Setelah itu, pertandingan pun dilangsungkan. Pelajar bermain bermatian untuk menjadi juara. Bukan senang mahu mendapat duit percuma dengan hanya menyepak bola. Di akhir pertandingan pasukan A telah muncul juara. Semua pemain begitu gembira dan bersorak.

“Terima kasih cikgu. Nanti buat lagi cikgu. Bagi hadiah hamper pula. Kita kumpul duit dikalangan pelajar juga. Kasihan jug acikgu saja yang keluarkan duit.”
“Tak ada masalah pun. Asalkan kamu semua gembira dengan kelas saya, kamu semua main dan akur arahan. Faham tanggungjawab kamu sebagai pelajar, saya dah puas hati.”

Setelah loceng berbunyi, cikgu Asri kembali ke bilik guru. Duduk sebentar menghilangkan lelah di padang. Seketika dibelek surat khabar untuk melihat isu-isu semasa. Ruangan info sukan menjadi tatapan tetap baginya. Melihat keputusan perlawanan liga inggeris dan lain-lain sukan. Setelah itu di semak buku kerja pelajar. Ditulis ulasan dan komen membina buat pelajar.

“Cikgu Asri, jom makan di kantin? Dah nak pukul 10 ni.”
“Terima kasih cikgu Ramli. Saya kejap lagi nak kena buka koperasi. Lagipun saya kenyang lagi.”

Cikgu Asri menolak ajakan cikgu Ramli. Bukan dia tidak mahu, tetapi memang dia perlu bersedia untuk membuka koperasi. Sekejap lagi waktu rehat. Pelajar akan berpusu-pusu ke koperasi untuk membeli itu dan ini.Sebagai pengurus jualan, cikgu Asri harus membuat persediaan awal. Supaya apabila dibuka, segalanya tersedia. Hanya menanti kedatangan pelajar-pelajar untuk membeli. Biarpun dibuka hanya seketika, namun kutipan untuk tempoh 20 minit agak lumayan. Sekitar RM50 ke RM150 sehari. Kutipan ini akan dikira, direkod dan akan dimasukkan ke dalam bank pada waktu petangnya.

Jam menjengah 11.00 pagi . Loceng berbunyi lagi. Cikgu Asri menjinjing beberapa buah buku dan menuju ke kelas 3 Efektif. Di ruang legar, kelihatan beberapa orang pelajar lelaki yang sedang asyik berbual, ketawa sesama mereka.

“Kamu semua masuk ke kelas. Sekarang bukan waktu untuk kamu merayau-rayau. Kambing pun tahu bila waktu dia boleh meragut.”
“Rileks lah cikgu. Kami mahu minum air saja. Kalut la cikgu ni.”
“Bukan soal kalut. Tapi soal disiplin diri. Kamu keluar ada bawa pas keluar? Cikgu mana izinkan kamu keluar? Tak da kan. Kalau pengetua tengok, apa dikata? Belum sempat dia nak panggil dan bercempera kamu lari macam ayam Nampak musang. Ummur dah besar panjang, fikir-fikir lah sikit . Takkan semua nak kena diarah, di marah baru nak dengar.”
“Berceramah pulak cikgu ni….”

Cikgu Asri ‘panas’ lagi. Kata-kata pelajar itu benar-benar menyentap amarahnya.

“Ke sini kamu!!!”

Pelajar itu buat endah tak endah. Seolah tunggul sahaja cikgu Asri pada dirinya. Mahu sahaja dia menampar pelajar itu. Kebetulan, cikgu Nordin melalui kawasan itu.

“Kamu semua… Beratur panjang. Siapa yang ada pas keluar, boleh balik ke kelas. Yang tak ada tunggu sini. Saya dengar sahaja, kamu cakap dari tadi. Arahan cikgu Asri kamu ingkar, kamu herdik dia. Kamu fikir Cikgu Asri ni adik kamu? Boleh kamu sewenang-wenangnya membalas?”
Semua pelajar terdiam. Memang di sekolah ini hanya pengetua dan PK HEM yang mereka agak takut. Pengetua dan PK HEM banyak bersuara melalui rotan panjang yang sentiasa dibawa.

“Siapa yang cakap cikgu Asri berceramah tadi? Keluar ke depan!!”

Kelihatan seorang pelajar bergerak ke hadapan dan tertunduk.

“Kamu lagi. Samseng sangat kah kamu ni? Baru minggu lepas kena rotan sebab ponteng kelas, hari ini buat hal lagi. Belajar malas, datang sekolah buat kacau. Apa kamu nak jadi? Orang datang sekolah untuk belajar. Ni kalau datang sekolah buat masalah, apa gunanya. Dah tau diri tu tak pandai, ubah lah sikap. Ini tidak. Ini yang saya sebut, pelajar yang macam ini ada dua keadaan saja. Tak bodoh, gila. Tak gila bodoh!!!”

Cikgu Nordin menghayun rotannya dua kali ke punggung pelajar itu. Mengaduh tapi tetap tak berani bersuara. Begitu juga pelajar lain. Cikgu Asri berlalu ke kelas. Dibiarkan cikgu Norsin selaku PK HEM meneruskan hukuman,. Pelajar diarahkan duduk di lantai koridor dan diberikan buku yang diambil dari bilik kaunseling yang berdekatan. Pelajar disuruh membaca sehingga loceng berbunyi.

Masuk ke kelas 3 Efektif, cikgu Asri menggeleng kepala. Papan hitam belum berpadam, pelajar masih bising dan membuat kerja sendiri. Ketawa, berbual dan berlari bagai tiada siapa-siapa di depan kelas. Cikgu Asri macam tak wujud.

“Wooiiii.. diam lah. Cikgu dah masuk kelas. Hormat lah sikit.”

Boooooo….. Ketua kelas di boo oleh sebahagian besar pelajar. Cikgu Asri mediamkan diri. Dia memandang tepat ke mata dari seorang ke seorang pelajar. Pelajar mula duduk dan seorang dari nya memadam papan hitam. Buku pun mula dibuka.

“Boleh pun kamu faham tanggungjawab kamu semua ke sekolah.”

Cikgu Asri mula mengajar dengan penuh semangat. Sesekali dipusing kelas. Di datangi dari satu meja ke satu meja memantau hasil kerja pelajar. Ada pelajar yang bertanya tidak faham dan ada juga yang sekadar menyorokkan buku bila cikgu Asri mendekati mejanya. Macam-macam.

Tidak sampai setengah jam, kelas mula bising semula. PElajar mula hilang focus. Apatah lagi melihat waktu pulang yang semakin hampir. Semuanya bersedia untuk pulang. Ada yang telah menyimpan buku ke dalam beg.

“Cikgu, balik cikgu. Saya letih dah ni. Petang nanti nak kena turuk ko k pulak.”
“Tak boleh. Belum cukup masa untuk pulang. Duduk tempat kamu semula. Dan saya Nampak tadi si Badrol menyusup keluar kelas. Saya akan bagi nama kepada PK HEM. Biar dia kena rotan. Saya ada mata depan belakang. Saya boleh Nampak siapa yang escape, siapa yang tidur, siapa yang mengata saya.”

Ketika asyik menerangkan di depan, loceng berbunyi dan terus sahaja pelajar berlari keluar kelas dan meninggalkan cikgu Asri termangu-mangu sendiri. Terduduk di kerusi dan memikirkan apalah yang ada dalam kepala setiap pelajarnya? Belajar tidak mahu, main tidak mahu. Datang sekolah buat apa? Kan lebih baik bekerja. Dapat juga dikumpul duit sendiri. Dari membuang masa datang ke sekolah tetapi peperiksaan akan gagal.

Cikgu Asri melangkah longlai ke bilik guru. Hari ini dia gagal lagi membentuk minat dan disiplin pelajar 3 Efektif untuk belajar matematik. Cikgu Asri menaip refleksi untuk kelas yang diajarnya sebentar tadi. Diluahkan rasa hatinya di dalam buku rekod mengajarnya. Cikgu Asri meneruskan tugasannya. Menginjak ke pukul 3.00 petang cikgu Asri menuju ke surau di hujung bilik guru. Dia menunaikan solat Zohor. Memang jarang cikgu Asri pulang ke rumahnya. Jam 4,30 petang dia akan turun ke padang pula melatih pasukan bola sepak sekolah.
Petang itu hanya 15 pemain yang turun. Lima lagi menghilang tanpa cikgu Asri tahu ke mana. Sebelum memulakan latihan cikgu Asri memberikan sedikit taklimat kepada pelajar.

“Saya sudah cakap pada kamu semua, untuk team saya ini, saya tekankan disiplin kamu dan juga tanggungjawab kamu. Walaupun kamu sehebat Rooney atau Messi, kalau kamu tak da disiplin, saya akan gugurkan kamu. Saya lebih rela bawa 11 pemain tetapi berdisiplin dari saya bawa 20 orang tetapi disiplin zero. Ini tidak adil buat kamu yang gigih berklatih tetapi rakan kamu yang kerap ponteng tetap dipilih. Jadi, lima orang yang tidak hadir hari ini… Saya gugurkan. Kamu cakap pada mereka tak perlu turun lagi. Kalau mereka bermatian berlatih pun, saya tidak akan terima lagi. Apa juga alas an tak akan saya denagr. Keputusan saya jelas. Saya gugurkan mereka berlima. Ada apa-apa masalah?”
“Tak da cikgu.”
“OK, kalau tak da, kita mulakan latihan.”

Suasana latihan berlangsung penuh semangat. Setiap pemain bersungguh-sungguh walaupun terapksa mengharungi cuaca yang agak panas membahang. Latihan ditamatkan sekitar jam 6.00 petang. Keletihan jelas teroancar di wajah setiap pemain. Namun, cikgu Asri berasa amat gembira dengan komitmen yang telah ditunjukkan. Memang banyak sudah perubahan dikalangan pemain pasukan ini. Mereka lebih berdisiplin, menepati waktu dan mendengar arahan yang diberikan.

Jam 6.45 petang cikgu Asri baru berada di rumah. Terus sahaja mandi membersihkan diri dan juga menunaikan solat. Selesai solat, cikgu Asri meneruskan kerjanya menyemak hasil kerja pelajar yang masih berbaki. Setiap hasil kerja diteliti dan diperbetulkan mana-mana yang salah. Dipenghujungnya, diturunkan tandatangan dan tarikh semakan.

Badan terasa begitu letih. Cikgu Asri berbaring melepaskan penat. Sambil memikirkan hari esok. Dia akan melalui suasana yang sama seperti seharian ini. CIkgu Asri terfikir apa lagi yang harus dia lakukan unguk membuka sedikit minda para pelajarnya. Bagaimana harus dia lakukan untuk mengetuk pintu hati kesedaran dikalangan pelajarnya yang malas dan tak tahu apa-apa. Akhirnya cikgu Asri terlelap bersama pengharapan agar hari esok kan lebih baik dari hari ini.

TAMAT

No comments:

Post a Comment