Wednesday, July 07, 2010

Cerpen : Kerana cikgu Rotan

“Cikgu Aresya memang celaka!!! Haram jadah!!!”

Cerca Hasanang di depan teman-temannya di kelas 5 Aktif. Nurul, Suriza dan Norwati hanya mendengar makian Hasanang. Memang mereka semua tidak berpuas hati dengan cikgu Aresya. Hanya kerana tertangkap tidak masuk ke makmal sains pagi itu, mereka berempat dihadiahkan dua kali rotan di tapak tangan.

“Aku tak kira. Aku mesti balas dendam kat dia. Mentang-mentang ada jawatan HEM, dia fikir dia boleh rotan aku sesuka hati? Silap besar la…”

“Apa yang kau nak buat Nang? Sudah lah tu.. Memang dah salah kita kan. Tengok..! Kita semua yang terima azab.”

“Kau tak nak balas aku tak kisah, Rul. Tapi aku tetap nak balas. Dia tu kena bagi sedar diri sikit.”

Sudah terbayang difikiran Hasanang apa yang akan dilakukan nanti sebagai‘pengajaran’ kepada cikgu Aresya. Petang itu Hasanang bersama tiga kawannya melancarkan satu “operasi balas dendam” terhadap cikgu Aresya. Setelah selesai misi, masing-masing berlalu pulang. Hasanang menanti ayahnya menjemput. Sedang dia menanti, kelihatan cikgu Aresya menuju ke kereta bersama cikgu Nur Iman.

“Ya Allah… Tengok tu Sya… Pancit lagi tayar kereta kau tu. Ni mesti kerja budak-budak yang kau rotan pagi tadi. Kau kena panggil mereka semula. Siasat betul-betul. Tak boleh diberi muka. Tengok ni. Ada kesan torehan.” Ujarnya tidak berpuas hati sambil terpandang dan memanggil Hasanang.

“Kamu Nampak tak sesiapa yang pancitkan kereta cikgu Aresya? Kalau saya, memang syak kamu dan kawan-kawan kamu. Saya kenal benar perangai kamu.”

“Mana saya tahu cikgu. Tak ada saya nak pancitkan kereta cikgu. Saya bukannya jahat sangat.”

Hasanang berlalu dengan wajah mencuka tetapi gembira kerana dia tidak disyaki. Berpeluh-peluh cikgu Aresya menukar tayar yang pancit. Selesai menukar, dia pun bergerak. Bila dilihat Hasanang yang masih berada di sekolah, cikgu Aresya memberhenti keretanya.

“Kenapa kamu belum pulang? Jom cikgu hantar kamu. Lagipun petang nanti ada latihan rumah sukan pula. Nanti tak sempat nak rehat dah turun semula.”

Hasanang akur. Sepanjang perjalanan dia diam sahaja. Hanya cikgu Aresya dan cikgu Nur Iman yang rancak berbual. Hasanang dapat menangkap perbualan cikgu Aresya. Aresya sedar yang Hasanang mencuri dengar, lantas dia bersuara.

“Saya sebenarnya bukan mahu menghukum kamu berempat sebarangan. Tidak terlintas mahu saya menyakitkan atau memalukan kamu semua. Kamu semua boleh berjaya dengan baik dalam SPM. Cumanya kenakalan kamu tu kena ubah.”
“Saya ni tak pandai cikgu. Kami semua nakal. Memang patut kena hukum.”
“Kamu pandai Hasanang… Cuma kamu tidak gunakan kepandaian kamu ke arah yang betul. Kamu aktif dalam sukan, dalam aktiviti kokurikulum. Tapi kenapa kamu lemah dalam akademik? Sepatutnya orang yang aktif dalam kokurikulum, mereka juga cemerlang dalam akademik. Saya percaya kebolehan kamu dan saya mahu kamu berubah. Sebab itu saya rotan kamu pagi tadi. Tapi kalau kamu terasa hukuman saya itu menyakitkan kamu, saya mohon maaf.”

Terasa sebak dengan ketulusan hati dan rendah diri yang ditunjukkan oleh cikgu Aresya. Memang Hasanang akui dia telah bersikap kasar dan keterlaluan. Kerap kali di dalam kelas cikgu Aresya, dia akan selalu ponteng dan membuat onar. Tetapi mengapa cikgu Aresya masih lagi bersabar dan tidak jemu menasihatinya? Terasa sarat di anak matanya menahan dari tertumpahnya mutiara penyesalan. Hasanang terasa malu kepada cikgu yang telah dia khianati selama ini. Hasanang mahu meminta maaf dan membuat pengakuan atas kesilapannya tetapi kereta telah pun berhenti betul-betul di hadapan rumahnya.

Hasanang terus ke biliknya. Terbaring di katil bujang yang tersusun rapi. Fikirannya masih teringat kepada kata-kata cikgu Aresya. Dirinya masih dibelenggu rasa bersalah. Hasanang bertekad yang dia harus berubah. Tidak boleh lagi berterusan begini. Ini soal masa depannya sendiri dan tidak ada sesiapa pun yang boleh mengubah dirinya saat ini kecuali dirinya sendiri. Perubahannya dirasai.

“Kalau korang tak mahu berubah tak apa lah. Aku tak paksa. Tapi aku memang tak mahu lagi lah buang masa macam dulu. Lagipun kita dah nak SPM tak lama lagi. Banyak yang belum aku belajar lagi.”

Hasanang tekun membuat persediaan dan menghadapi SPM dengan sebaiknya. Dan akhirya SPM dilalaui juga sedaya mungkin....

3 bulan Kemudian....

Apabila keputusan diumumkan, Hasanang bersama-sama tiga teman baiknya menjadi antara pelajar terbaik di sekolah. Alangkah gembiranya hati. Tetapi Hasanang sedikit terkilan kerana kejayaannya tidak dapat dikongsi bersama cikgu Aresya yang telah berpindah sekolah. Tetapi dia nekad untuk terus berjaya demi membalas jasa cikgu Aresya. Hasanang telah mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke England dalam bidang kejuruteraan dan kini berjaya membina Empayar pembinaan “SYANANG Development”. Namun, jauh di sudut hatinya, Hasanang masih kepingin mahu bertemu dengan cikgu Aresya. Guru yang sebenarnya mengetuk pintu kesedaran dalam dirinya. Tanpa rotan cikgu Aresya, tak mungkin Hasanang menjadi seperti hari ini.

“Mak… Nang fikir nak bercuti sebulan. Nang nak pergi cari cikgu Aresya. Nang dapat tahu dia bertukar ke Sarawak.”.

Anggukkan ibu menggembirakan hati Hasanang. Seperti dirancang, petang itu Hasanang berlepas dengan penerbangan MAS ke Bumi Kenyalang. Hatinya begitu gembira untuk bertemu dengan insan yang amat dia kagumi. Sebaik sahaja mendarat, terus Hasanang menyewa kereta dan bertanya pegawai khidmat pelanggan di lapangan terbang cara untuk ke sekolah tempat cikgu Aresya mengajar. Sebaik memasuki ruang pejabat SMK Simunjan,

“Apa? Cikgu Aresya di hospital? Kenapa dengan cikgu Aresya?”
“Dia sekarang ni di peringkat akhir kompilasi jangung. Baik cik ke sana.” Hasanang berasa begitu terkejut. Sepanjang perjalanan dia bermonolog sendiri.
“Cikgu.. Kenapa cikgu yang sebaik ini diuji dengan seberat-berat dugaan? Mengapa Dia tidak berikan cikgu kebahagiaan dan kejayaan yang melimpah ruah? Cikgu yang telah berjasa kepada aku. Kenapa tidak aku yang diuji dengan dugaan ini Ya Allah… Cikgu, maafkan anak murid mu ini cikgu.Izinikan aku untuk mengucup jemari mu tanda hormat, tanda sesal dan tanda terima kasih atas kesedaran yang kau semai dalam jiwa ku. Ya Allah, bantulah cikgu Aresya untuk kembali sihat seperti mana yang aku kenali. Amin….”

Di hospital, Hasanang bertanya di kaunter. Terus Hasanang menuju ke wad.

“Assalammulaikum… Ini wad cikgu Aresya kan? Saya Hasanang, anak murid cikgu Aresya 10 tahun yang lalu.”
“Ooo… Inilah Hasanang… Ini anak-anak cikgu. Dan saya ni suaminya.”

Anak-anak cikgu Aresya menghulur tangan dan bersalaman. Dikucup jemari membuat Hasanang tidak mampu menahan air mata.

“Hasanang masuklah. Cikgu Aresya belum sedar lagi. Sudah seminggu dia koma. Kata doktor peluangnya 50:50. Nak dibuat pembedahan, tiada pakar di sini. Pihak hospital ada mencadangkan dihantar ke Germany. Tapi entah lah.”

Hasanang terus masuk dan setelah 10 tahun, akhirnya hari ini dia dapat menatap kembali wajah guru yang menjadi idolanya. Namun, air matanya tidak dapat ditahan lagi. Wajah yang ditatap kini tidak seperti wajah yang pernah dia kenali 10 tahun lalu. Wajah ini terlalu lemah, pucat dan mata yang terpejam. Hasanang menggenggam jemari cikgu Aresya yang penuh dengan tiub-tiub yang pastinya cukup menyiksakan. Dikucup penuh kasih sayang.

“Cikgu…. Ini Hasanang datang cikgu. Kenapa cikgu macam ni? Cikgu tak nak tengok muka anak murid cikgu yang nakal ni ke? Cikgu mesti kuat. Hasanang nak cikgu buka mata dan cikgu akan tersenyum semula. Hasanang janji, Hasanang akan buat apa sahaja asalkan cikgu sihat macam dulu. Hasanang janji cikgu… Hasanang nak balas budi cikgu. Sebab cikgu rotan dulu lah, Hasanang jadi manusia berjaya seperti hari ini. Maafkan segala salah silap Hasanang ya cikgu.”

Hasanang menangis semahunya meluahkan rasa hati yang selama ini terpendam. Walaupun cikgu Aresya tidak membuka mata, tapi Hasanan percaya, cikgu Aresya mendengar kata-katanya. Dia mahu cikgu Aresya tahu, yang anak muridnya ini datang untuk mengucapkan terima kasih.

Atas persetujuan encik Saiful dan pertolongan pihak hospital, cikgu Aresya diterbangkan ke Jerman untuk rawatan intensif dan pembedahan membuang tumor barah otak yang kritikal. Biar pun peluang sangat tipis, tetapi tidak mencuba, masakan akan tahu pengakhirannya. Hasanang tahu cikgu Aresya sangat kuat dan tabah. Dan dia percaya, dengan ketabahan dan kekuatan ini lah, cikgu Aresya akan kembali dalam keadaan yang sihat dan gembira. Sambil menanti pembedahan selesai, Hasanang berbual-bual dengan encik Siful.

“Hasanang nak tahu… Di rumah kami, cikgu Aresya ada membuat scrap book khusus tentang Hasanang tau. Katanya Hasanang adalah murid contoh. Malah, kalau di mana sahaja dia dijemput untuk ke kem motivasi, nama Hasanang pasti disebut sebagai contoh. Tiap kejayaan Hasanang sama ada diperoleh dari sekolah, surat khabar mahupun internet akan digunting, digam dan disimpan elok-elok. Dia amat bangga dengan kejayaan Hasanang.”
“Betul ke uncle? Macam tak percaya… Besar sangat penghargaan cikgu Aresya tu pada saya. Sedang saya tak lah sehebat mana. Lagipun kejayaan saya ni disebabkan dia rotan saya dulu.”
“Hahahahaha.. Ada dia cerita pada saya tentang kes dia rotan Hasanang. Dia ada bagitau saya yang dia nampak Hasanang bocorkan tayar kereta dia dulu tapi bila disoal, Hasanang tidak mengaku. Tapi dia tidak pernah marahkan Hasanang sebab dia tahu yang satu hari, Hasanang akan berubah dan berjaya. Betul kan? Hasanang sudah berjaya.”
“Ya Allah.. Rupanya cikgu tahu siapa yang pancitkan kereta dia. Berdosanya saya ni uncle… Saya mahu mengaku tapi saya malu sangat-sangat.”
“Tak pa lah. Lagipun perkara dah berlalu.”

Sedang rancak berbual, pintu bilik pembedahan dibuka. Beberapa orang doktor dan pembantu keluar. Semuanya bergegas. Hasanang dirundung bimbang yang bukan kepalang. Seorang doktor menghampiri dan bercakap dengan encik Saiful. Hasanang menitis air mata syukur bila dia sahaja mendengar pembedahan membuang tumor barah telah berjaya. Hasanang tidak mahu berjumpa dengan cikgu Aresya dahulu.

“Uncle, jangan cakap apa-apa tentang Hasanang ya. Biar lah menjadi rahsia dahulu. Satu masa yang sesuai, saya akan datang berjumpa dengan cikgu. Kalau ditanya tentang ini, cakap sahaja yang ada hamba Allah yang prtihatin membiayai kos pembedahan. Aresya akan pulang esok. Apa-apa hal, Hasanang call uncle ya.”

Suatu petang, ketika sedang berehat di halaman rumah, dua buah kereta memasuki perkarangan rumah cikgu Aresya. Diperhati tetapi cikgu Aresya tidak mengenali. Mungkin sabahat suaminya.

“Assalammualaikum… Ini cikgu Aresya? Apa khabar cikgu?”
“Waalaikum salam… Ya, khabar baik. Anak-anak ni siapa?”
“Cikgu sudah tak mengenali kami ya. Tak pa lah. Tapi cikgu mesti kenal siapa gadis yang di dalam kereta perdana V6 tu.” Hasanang keluar perlahan dari kereta.
“Assalammualaikum cikgu….”
“Waalaikumsalam…. Ini….”

Terus diterkam dan dipeluk cikgu Aresya. Hasanang menangis teresak-esak

“Cikgu.. Ini Nurul. Dia dah jadi doktor di HKL. Ini Suriza, dah jadi cikgu di Seri Kembangan. Dan ini pula Norwati dan jadi Executive di CIMB. Dan saya ni, anak murid cikgu paling nakal, jadi buruh kasar saja…”

Cikgu Aresya ketawa mendengar penjelasan Aresya. Encik Saiful dan kawan-kawan Hasanang juga ketawa. Hasanang menggenggam jemari cikgu Aresya.

“Cikgu, kami berempat datang ni dengan dua tujuan. Pertama, kami nak melawat cikgu. Kami ambil cuti datang Sarawak ni semata-mata nak jumpa cikgu. Keduanya kami nak minta maaf sebab kami berempat yang pancitkan tayar kereta cikgu dulu. Hasanang memimpin tangan cikgu Aresya dan menuju ke arah kereta Proton Perdana V6 diikuti oleh teman-teman baiknya juga.
“Cikgu ingat tak dulu, masa cikgu ajar kami, Nurul ada tanya tentang kereta idaman cikgu? Cikgu kata cikgu minat Perdana V6 warna hitam. Tapi cikgu kata, mungkin hingga pencen baru nak dapat pakai kereta tu. Jadi, ini adalah hadiah dari kami berempat. Kami belikan Perdana V6 hitam ini khas buat cikgu. Hadiah khas sebagai tanda kami amat menghargai cikgu rotan kami dulu. Kerana cikgu rotan, kami sedar dan berjaya. Tapi hadiah ini terlalu kecil jika nak dibandingkan dengan jasa dan pengorbanan cikgu kepada kami.”

Cikgu Aresya terasa sebak. Dia menitiskan air mata. Dipeluknya anak muridnya seorang demi seorang. Tidak tahu apa yang mahu dikatakan lagi. Hari ini impiannya menjadi kenyataan. Bertemu dengan anak-anak murid yang dikaguminya dan memiliki kereta idaman hati.

“Nang… Nurul… Iza… Wati… Cikgu marah kamu, cikgu rotan kamu dulu.. Bukan niat untuk sakitkan kamu. Tak pernah terniat sekalipun dalam hati cikgu nak buat kamu sakit. Tapi cikgu buat semua tu sebab cikgu nak kamu semua sedar. Apa yang kamu buat itu salah. Merugikan masa depan kamu sendiri. Cikgu tak rugi apa-apa. Kamu berjaya atau gagal, langsung tak menjejas gaji yang cikgu terima bulan-bulan. Tapi cikgu bukan yang kerja mengharap gaji semata-mata. Cikgu mahu setiap anak murid cikgu berjaya. Cikgu yakin kamu berempat mampu Berjaya. Tapi sebab kamu ni nakal, pelajaran kamu terabai. Tapi cikgu syukur, akhirnya kamu semua sedar dan lihat hari ini.. Cikgu bangga dengan kamu semua. Terima kasih lah atas hadiah yang kamu berikan. Tak tahu nak cakap macam mana. Terasa macam tak layak sahaja untuk cikgu.”

Mereka semua ketawa mendengar kata-kata cikgu Aresya. Hasanang puas hati akhirnya impian untuk bertemu dengan cikgu Aresya menjadi kenyataan dan cikgu Aresya sihat seperti selalu. Hasanang sedar, kerana cikgu rotan, dia berjaya dalam hidupnya. Dan jasa seorang guru tiada langsung yang mampu membalas. Terima kasih cikgu.

** cerita ini terpilih untuk dibukukan dlm NASKAH KHAS HARI GURU NEGERI KEDAH 2010.

1 comment: